Isnin, 9 April 2018 | 1:30pm

DUN Terengganu dibubar

KUALA TERENGGANU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dibubarkan hari ini, selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, pagi tadi.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, mengumumkan pembubaran itu pada sidang media khas di Wisma Darul Iman di sini, sebentar tadi.

Terdahulu, Ahmad Razif yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri menghadap Sultan Mizan kira-kira 15 minit di Istana Syarqiyyah, Chendering.

Beliau tiba di perkarangan istana jam 10.17 pagi dan dilihat meninggalkan istana jam 11.30 pagi, sebelum meneruskan sidang media jam 11.50 pagi.

Sejurus mengumumkan pembubaran itu, Ahmad Razif menyerahkan watikah pembubaran DUN Terengganu kepada Speaker DUN, Datuk Mohd Zubir Embong.

Mohd Zubir kemudian menyerahkan terus watikah berkenaan kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, Nik Wandy Suwardy Amry yang turut hadir pada sidang media itu.

Ahmad Razif pada sidang media itu berkata, Sultan Mizan sudah memperkenan pembubaran DUN bermula hari ini, supaya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dapat diselaraskan dan diadakan serentak.

"Kerajaan BN sudah melaksanakan dan memberikan yang terbaik untuk rakyat. Kuasa kini dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang mereka inginkan," katanya.

Ahmad Razif berkata, jika diberi mandat baharu, BN negeri berikrar memastikan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang dinikmati selama ini dapat dikekalkan selaras kerangka dan prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB) yang terkandung dalam Maqasid Syariah.

Katanya, BN negeri akan melancarkan manifesto di Hulu Terengganu pada 12 April ini yang akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

DATUK Seri Ahmad Razif Abd Rahman menyerahkan watikah pembubaran negeri Terengganu kepada Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Zubir Embong (kiri) untuk diserahkan kepada SPR pada Majlis Sidang Media Khas di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. - Foto Imran Makhzan
Berita Harian X