Isnin, 9 April 2018 | 4:25pm
PENGERUSI DAP Sarawak, Chong Chien Jen (dua dari kanan); Pengerusi PAN Sarawak, Fidzuan Zaidi (tengah) dan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian hadir pada sidang media, di Kuching, hari ini. - Foto Goh Pei Pei

DAP Sarawak tolak logo 'mata' PKR

KUCHING: Ketika calonnya di Semenanjung menggunakan logo PKR pada Pilihanraya Umum ke-14, DAP Sarawak diberi autonomi untuk terus menggunakan lambang roket dengan alasan mengelakkan kekeliruan pengundi.

Berikutan itu, hanya Parti Amanah Negara (PAN) yang akan menggunakan logo PKR bagi calon pembangkang di negeri itu manakala DAP tetap menggunakan logo roket.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen, berkata keputusan itu selepas mengambil kira situasi politik semasa di negeri ini yang sama sekali berbeza dengan Semenanjung, selain sentimen pengundi setempat, terutama di kubu kuat parti berkenaan.

"Dalam PRU14, hanya PAN yang akan menggunakan logo `mata biru' di Sarawak, selain PKR sendiri. Manakala, DAP Sarawak tetap menggunakan logo roket kerana ia satu logo atau jenama cukup dikenali di negeri ini.

"DAP Sarawak dijangka berada dalam situasi tidak baik andainya tidak menggunakan logo sendiri dan dibimbangi mesej dibawa parti tidak sampai kepada rakyat, terutama dalam kalangan penyokong kita," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Minggu lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mengumumkan DAP pada PRU-14 menggugurkan logo roket dan mahu menggunakan logo seragam dalam Pakatan Harapan milik PKR.

Chien Jen yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak dan penyandang kerusi Parlimen Bandar Kuching, berkata tidak timbul isu dalam pemilihan logo berkenaan kerana DAP Sarawak diberi kuasa autonomi oleh kepemimpinan parti itu untuk memilih penggunaan logo di negeri ini.

"Penggunaan logo roket akan meningkatkan peluang menang di sembilan kerusi Parlimen ditandingi DAP dalam pilihan raya kali ini," katanya.

Selain Bandar Kuching, lapan lagi kerusi bakal ditandingi DAP Sarawak ialah Mas Gading, Serian, Stampin, Sibu, Lanang, Sarikei, Bintulu dan Kapit, manakala PKR bertanding di 16 kerusi manakala PAN enam kerusi yang dulunya diperuntukkan kepada PAS.

Kerusi ditandingi PKR ialah Miri, Petra Jaya, Puncak Borneo, Sri Aman, Lubok Antu, Betong, Saratok, Julau, Kanowit, Mukah, Selangau, Hulu Rajang, Sibuti, Baram, Limbang dan Lawas, manakala PAN bertanding di Santubong, Kota Samarahan, Batang Lupar, Batang Sadong, Igan dan Tanjung Manis.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), DAP menang lima kerusi di Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Lanang dan Sibu semuanya menewaskan calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mewakili BN.

Sementara itu, Pengerusi PAN Sarawak, Fidzuan Zaidi, berkata penggunaan logo PKR bertanding pada PRU-14 memberi kelebihan kepada calon parti berkenaan untuk menawan kesemua kerusi ditandingi.

"Saya yakin pengundi lebih selesa dengan 'mata biru' (berbanding logo digunakan PAN). Jadi, sebab itu kita menggunakan logo PKR," katanya.

Keseluruhannya, Sarawak memiliki 31 kerusi Parlimen, dengan 25 daripadanya dikuasai BN, diikuti lima (DAP) dan satu (PKR).

Berita Harian X