Isnin, 9 April 2018 | 10:17pm

Dr Tan Seng Giaw digugurkan

PETALING JAYA: Orang kuat DAP, Dr Tan Seng Giaw yang juga Ahli Parlimen lapan penggal di Parlimen Kepong digugurkan parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, tempat Seng Giaw diganti oleh Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng.

Sehubungan itu, katanya, Hannah Yeoh di Parlimen Segambut manakala Tan Kok Wai, Fong Kui Lun dan Teresa Kok kekal di Parlimen Cheras, Bukit Bintang dan Seputeh.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Calon DAP untuk Wilayah Persekutuan sempena PRU-14 di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Sementara itu, Seng Giaw ketika diminta mengulas penggugurannya itu berkata beliau maklum mengenai perkara itu dan menerima keputusan parti.

“Saya terima keputusan parti dan akan terus berkhidmat untuk (kawasan) Kepong," katanya ketika dihubungi malam ini.

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng (enam dari kiri) bersama sebahagian kepimpinan tertinggi DAP bergambar pada Majlis Pengumuman Calon DAP untuk Wilayah Persekutuan sempena Pilihanraya Umum ke 14 di Dewan Sivik MBPJ. - Foto Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X