Sabtu, 14 April 2018 | 3:00pm
MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semasa melihat model surau selepas majlis Pelancaran Pembinaan Surau Presint 11K dan 11F di Putrajaya.- Foto Ahmad Irham Mohd Noor

'Apasal cepat sangat meloncat?'

PUTRAJAYA: Semua pihak diminta bertenang dan menunggu pengumuman rasmi mengenai calon terbaik mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata senarai calon mewakili BN belum dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan.

"Nama pun belum diputuskan, meloncat-loncat pasal apa?

"Tunggulah nama keluar. Meloncat-loncat inilah satu masalah. Saya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan pun hairan kenapa mesti nak meloncat-loncat.

"Samalah dengan (kerusi) Bandar Tun Razak, tunggulah," katanya kepada media pada Majlis Pelancaran Pembinaan Surau Presint 11K dan 11F di sini, hari ini.

Semalam, kira-kira 30 orang yang mendakwa mewakili beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam Parlimen Wangsa Maju menyerahkan memorandum meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN mencalonkan semula Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah di kerusi berkenaan.

Memorandum itu diserahkan Penasihat Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia, Datuk B Anbumani, kepada wakil Pejabat Perdana Menteri di sini.

Difahamkan, pada PRU-14, kerusi Parlimen Wangsa Maju bakal diserahkan semula kepada MCA yang sebelum ini dianggap sebagai kerusi tradisi parti berkenaan.

Sebagai pertukaran, kerusi Parlimen Bandar Tun Razak yang pada PRU-13 ditandingi calon MCA, bakal diserahkan kepada UMNO dengan Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil disebut-sebut bakal dicalonkan di kerusi berkenaan.

Pada PRU-13, Mohd Shafei tewas kepada calon PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong di kerusi Parlimen Wangsa Maju dengan majoriti 5,511 undi manakala di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak, calon MCA, Tan Kok Eng tewas kepada calon PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan majoriti 11,832 undi.

Shahrizat bagaimanapun mengakui belum menerima arahan kepemimpinan tertinggi BN untuk bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pada PRU-14.

Berita Harian X