Sabtu, 14 April 2018 | 3:40pm
MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor menyampaikan replika kunci kepada pemilik rumah pada majlis penyerahan kunci RUMAWIP Residensi Razakmas di Bandar Tun Razak. - Foto Saifullizan Tamadi

Sabar, kata Ku Nan

KUALA LUMPUR: Ahli UMNO dinasihatkan supaya bersabar menunggu penamaan calon yang dijangka bakal diumumkan lebih awal sebelum 28 April ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata beliau percaya Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkannya awal daripada tarikh yang dijangka.

"Kalau Shahrizat bertanding, tunggulah. Tunggu pengumuman Pengerusi BN siapa akan jadi calon dan sebagainya.

"Sabar," katanya ketika diminta mengulas berhubung desas-desus Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang bakal bertanding bagi kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penyerahan kunci Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) Residensi Razakmas di Bandar Tun Razak, di sini hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz dan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan mengakui, kedua-dua kerusi Bandar Tun Razak dan Wangsa Maju sememangnya milik MCA.

"Kita sudah mohon supaya MCA pulangkan balik kedua-duanya kepada UMNO dan kita putuskan satu kerusi dipinjamkan kepada UMNO, manakala satu kerusi lagi diserahkan kepada MCA semula.

"Berdasarkan tinjauan, kita lihat MCA mudah menang di Wangsa Maju dan selepas perbincangan dibuat, setakat ini keputusan masih belum dibuat. Tunggulah," katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan ahli UMNO seluruh negara supaya sentiasa mengamalkan konsep wala', tabayyun dan wasatiyyah dalam memastikan BN kekal menjadi kerajaan.

"Akurlah dengan arahan pemimpin dan buatlah apa yang disuruh.

"Jangan nak terasa atau terguris hati dan ugut-mengugut. Kita kena bersatu kalau supaya pemerintahan BN dapat dikekalkan," katanya.

Berita Harian X