Sabtu, 14 April 2018 | 8:17pm
LIOW hadir ke Program Santai Sertik Bersama Pemimpin di FELDA Sertik di Bentong, hari ini. - Foto Aizuddin Saad

2 kerusi MCA diputuskan sehari sebelum hari penamaan

BENTONG : Keputusan parti komponen Barisan Nasional (BN) mana akan bertanding di Parlimen Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak akan dimuktamadkan sehari sebelum hari penamaan calon.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, memaklumkan dua kerusi tradisi MCA itu kini masih dalam proses rundingan dan ia akan diputuskan berlandaskan semangat setiakawan dalam Barisan Nasional (BN).

Katanya, tumpuan utama BN dalam rundingan di dua kerusi itu, yang sebelum ini dimenangi pembangkang, adalah untuk memastikan BN menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 9 Mei ini.

"Semua kerusi itu termasuk yang kita 'swap' (bertukar), kita bincangkan melalui semangat dan setiakawan dalam BN. Ia tidak akan diuar-uarkan menerusi media.

"Sehari sebelum hari penamaan calon akan putuskan. Paling penting sekali kita mahu memenangkan BN," katanya pada sidang media selepas hadir Program Santai Sertik Bersama Pemimpin di FELDA Sertik di sini, hari ini.

Kerusi Parlimen Wangsa Maju dipinjamkan MCA kepada UMNO pada PRU Ke-13 dan ada ura-ura mengatakan MCA mahukan kembali kerusi berkenaan bagi membolehkan calonnya bertanding pada PRU kali ini.

Situasi itu dikatakan menjadi punca wujud gesaan segelintir ahli akar umbi UMNO di Wangsa Maju yang mahukan supaya kerusi itu kekal ditandingi UMNO.

Sementara itu, bagi kerusi Bandar Tun Razak, ia sememangnya menjadi kerusi tradisi MCA, namun pada PRU kali ini, UMNO berminat untuk meletakkan calon di kawasan berkenaan, berikutan pecahan kaum adalah majoritinya Melayu.

Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, disebut-sebutkan akan bertanding di kerusi berkenaan, namun ketika ini ia hanya spekulasi.

Mengulas mengenai Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Tiong Lai mahu rakyat tidak termakan dengan pembohongan yang cuba dijaja pembangkang, sebaliknya percaya bahawa projek itu bakal memberi manfaat kepada rakyat.

"Inisiatif ini sudah membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, 14,000 peluang kerja ditawarkan. Semuanya adalah pekerja tempatan.

"Jadi, adalah tidak benar ECRL tidak menjaga penduduk tempatan. (Dakwaan pembangkang) ini adalah satu niat yang jahat," katanya.

Berita Harian X