Isnin, 16 April 2018 | 3:30pm
MOHD Shafei Abdullah. - Foto Rosdan Wahid

Wangsa Maju majoriti Melayu, sesuai untuk UMNO

KUALA LUMPUR: Peningkatan pengundi Melayu di kerusi Parlimen Wangsa Maju daripada 54 peratus kepada 61 peratus menjadikan kawasan itu sesuai ditandingi calon daripada UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah, berkata berdasarkan perangkaan itu, UMNO paling layak kekal bertanding di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) meskipun pernah tewas pada PRU lalu.

Beliau berkata, sekiranya MCA berhasrat untuk ambil alih peranan UMNO dengan meletakkan calonnya di Parlimen Wangsa Maju kemungkinan boleh menyebabkan berlaku peralihan undi Melayu kepada pembangkang terutama PAS.

"Saya tidak bersetuju jika kepimpinan UMNO mahu menukar kerusi Wangsa Maju milik UMNO kepada MCA. Kita lihat jumlah pengundi Melayu di kawasan itu meningkat. Jadi, sebarang keputusan mesti ambil kira populasi sebelum putuskan siapa calon.

"Sekiranya kita beri kerusi ini kepada MCA, tiba-tiba PAS pula putuskan untuk bertanding di kawasan sama, ...kita bimbang pengundi Melayu akan beralih undi mereka.

"Kerusi Wangsa Maju sepatutnya diberikan mandat kepada calon UMNO pada PRU nanti. Itu pendapat saya. Bagaimanapun, saya serahkan kepada kepimpinan parti untuk tentukan siapa daripada UMNO untuk bertanding di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang membayangkan MCA akan bertanding di kerusi Wangsa Maju berdasarkan tinjauan yang mendapati parti itu dilihat boleh menang mudah di kawasan berkenaan.

Shafie turut disokong badan kebajikan masyarakat India iaitu Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia (PNRM) berikrar akan memberi sokongan penuh dan kuat kepada beliau selaku calon pilihan rakyat yang diperlukan Barisan Nasional (BN) di Wangsa Maju.

Dianggarkan Wangsa Maju memiliki 67,775 orang pengundi yang mana 61 peratus adalah Melayu, Cina (21 peratus) dan India (18 peratus).

Pada PRU-13, Mohd Shafei mendapat 26,130 undi dan tewas kepada calon PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong yang memperoleh 31,641 undi.

Berita Harian X