Selasa, 17 April 2018 | 3:52pm
TUN Dr Mahathir Mohamad. - Foto EPA

Syak wasangka dalam pakatan masih menebal

PADANG TERAP: Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan terpaksa memilih kawasan selamat di Langkawi untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana masih mempunyai syak wasangka terhadap rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata Dr Mahathir tidak yakin akan menerima sokongan penuh daripada pakatan pembangkang ekoran sejarah permusuhan dalam politik antara mereka sebelum ini.

"Mereka yang duduk dalam pakatan pembangkang ini sama-sama masih (ada) syak wasangka antara satu sama lain, macam Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PKR) tengok Dr Mahathir sebagai individu yang memenjarakan suaminya.

"Begitu juga dengan Mohamad Sabu (Presiden Parti Amanah Negara) melihat Dr Mahathir sebagai orang yang menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), ...malah Dr Mahathir juga mesti melihat Lim Kit Siang penuh syak wasangka, begitu juga sebaliknya.

"Pemikiran mereka lain-lain namun disebabkan mempunyai musuh sama iaitu Barisan Nasional (BN) sebab itu jadi macam itu, ...Dr Mahathir memilih kerusi selamat saja untuk bertanding," katanya selepas merasmikan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Agama (SMA) Maktab Mahmud Padang Terap, di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Dr Mahathir yang memilih Langkawi sebagai kawasan untuk kembali bertanding pada PRU-14, selepas 30 tahun menjadi Ahli Parlimen Kubang Pasu.

Pada masa sama, Mahdzir yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, berkata keputusan Dr Mahathir bertanding di Langkawi juga membuktikan bahawa kerusi Kubang Pasu bukanlah kawasan selamat baginya walaupun begitu lama menyandang sebagai Ahli Parlimen di situ.

"Di manapun beliau bertanding kita tetap dengan pendirian nak memberi kemenangan buat calon BN dan strategi juga sudah lama dibuat bagi meyakinkan pengundi di semua kawasan kita tandingi," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain, berkata ahli UMNO dan orang Melayu kecewa dengan tindakan Dr Mahathir bertanding dalam PRU-14.

Tajul Urus yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok berkata, Dr Mahathir tidak seharusnya menentang parti yang selama ini menjulang dan menaikkan nama beliau hingga menjadi presiden parti dan Perdana Menteri.

"Semua orang Melayu kecewa dengan sikap Dr Mahathir yang sebelum ini dihormati dan disanjung disebabkan banyak jasa diberikan.

"Namun, disebabkan ada perkara tidak dipersetujuinya, beliau sanggup menjatuhkan parti yang menaikkannya," katanya pada program Penyerahan Cermin Mata Dariku Untukmu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa di Sungai Lalang di sini.

Pada majlis itu, seramai 280 murid dari lima sekolah rendah di negeri itu menerima cermin mata dengan peruntukkan berjumlah RM60,000.

716 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »