Khamis, 19 April 2018 | 2:28pm

PFP letak calon PRU-14

GEORGETOWN: Penang Front Party (PFP) hari ini mengesahkan akan meletakkan calon di 13 kerusi di Pulau Pinang, termasuk satu kerusi Parlimen, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Presidennya, Datuk Patrick Ooi, berkata semua calon terbabit adalah terdiri daripada individu berbilang bangsa dan berumur kurang daripada 40 tahun.

"Kami turut mempunyai dua calon wanita, dan semua calon kami terdiri daripada golongan profesional dan ahli perniagaan, yang mampu membawa suara ke peringkat tertinggi.

"Selain itu, kami juga akan menyerahkan semua nama calon kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, bagi tujuan saringan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

PRU-14 yang akan diadakan pada 9 Mei hadapan adalah penampilan sulung PFP dalam arena politik.

PFP yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu, dijangka akan meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Keramat, Batu Uban, Pantai Jerejak, dan beberapa kerusi DUN di bahagian Seberang Perai, termasuk satu di Parlimen Batu Kawan.

Terdahulu, Patrick bersama beberapa ahli PFP hadir ke pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri di sini, untuk mengambil 13 borang pencalonan PRU-14.

PRESIDEN PFP, Datuk Patrick Ooi hadir ke pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri di Georgetown, untuk mengambil 13 borang pencalonan PRU-14. - Foto Ramdzan Masiam
Berita Harian X