Khamis, 19 April 2018 | 9:12pm
Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. - Foto Owee Ah Chun

Watikah calon BN WP diserah Ahad ini

KUALA LUMPUR : Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, mengesahkan satu majlis penerimaan watikah calon Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Ahad ini.

Raja Nong Chik berkata penyerahan watikah itu susulan pemilihan beliau sebagai calon untuk bertanding di Parlimen Lembah Pantai pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

"Watikah akan diserahkan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor," katanya menerusi pesanan teks, di sini, sebentar tadi.

Dipercayai majlis penganugerahan watikah kepada calon BN akan dijalankan serentak di seluruh negara oleh Pengerusi Badan Perhubungan Negeri masing-masing.

Terdahulu, Raja Nong Chik dipetik sebagai berkata beliau sudah dimaklumkan lebih awal pemilihannya sebagai calon oleh Tengku Adnan.

Justeru, beliau melahirkan keyakinan tinggi untuk merampas semula Parlimen Lembah Pantai daripada pembangkang.

"(Melalui) atas apa yang sudah kita lakukan, kita boleh menang. Jentera kita memang bersiap sedia dari awal.

"Selepas kalah pada 2013, dua minggu kemudian, program bersama rakyat berjalan seperti biasa sehingga sekarang," katanya.

Raja Nong Chik mengakui dalam siri programnya sebelum ini, sokongan dan kepercayaan masyarakat kawasan itu kepada BN bertambah baik kerana kegagalan penyandang, Nurul Izzah Anwar (Parti Keadilan Rakyat) memberi perkhidmatan yang memuaskan.

Penambahan 10 peratus pengundi di kawasan Lembah Pantai dijangka menjadi faktor penarik kepada BN untuk merampas semula kerusi parlimen itu.

Berita Harian X