Ahad, 22 April 2018 | 12:49pm
ADNAN Abu Seman, antara calon muka baharu diumumkan Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Calon muka baharu azam menangkan BN

KUALA LUMPUR: Peguam muda, Adnan Abu Seman, antara calon muka baharu diumumkan Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), hari ini.

Dua muka baharu lain juga calon profesional adalah Timbalan Setiausaha MCA Seputeh , Chan Quin Er dan Ketua Wanita MCA Bukit Bintang, Ann Tan Ean Ean.

Perkara itu diumumkan Setiausaha BN Wilayah Persekutuan, Datuk Rizalman Mokhtar, di Dewan Tun Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Adnan, 42, anak jati Kampung Malaysia Tambahan dipilih mengisi 'kerusi panas' Parlimen Bandar Tun Razak, yang menjadi rebutan antara UMNO dan MCA, sebelum ini.

Ketika ditemui, Adnan melahirkan keyakinan bahawa kelebihannya sebagai pemidato, peguam muda dan penganalisis politik akan memberi kelebihan kepada BN.

"Saya baru terima watikah dan ini, saya akan duduk dengan pasukan untuk teliti dan memperhalusi isu pendidikan dan sosial secara khusus.

"Kita berhasrat untuk meningkatkan taraf pendidikan dan bilangan graduan dari Bandar Tun Razak," katanya.

Sementara itu, Quin Er, 31, yang juga bekas Timbalan Pendakwa Raya bergiat aktif dalam politik MCA sejak usia 20 tahun.

"Tanggungjawab ini memang berat tetapi saya menerima cabaran dicalonkan kali pertama sebagai calon wanita muda dan berjanji melakukan perubahan untuk generasi akan datang.

"Harapan saya supaya terus diberikan mandat dan dapat berada di Parlimen untuk membela nasib pengundi Seputeh," katanya.

Ean Ean, 46, yang juga seorang peguam berjanji untuk sentiasa turun padang mendekati 69,000 pengundi Parlimen Bukit Bintang.

"Persempadanan semula menyaksikan ada lima Pusat Daerah Mengundi (PDM) dari Parlimen Seputeh dimasukkan ke Parlimen BB.

"Kita mahu rakyat tahu, walaupun MCA kalah pada PRU-13, Pusat Khidmat Masyarakat masih dibuka.

"Kita juga sudah wujudkan Pusat Perkhidmatan Perundangan Wanita untuk wanita di Parlimen Bukit Bintang mendapatkan khidmat guaman dan kaunseling," katanya.

Berita Harian X