Ahad, 22 April 2018 | 1:08pm
CALON Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bergambar bersama 12 calon parlimen bagi Wilayah Persekutuan selepas pengumuman dibuat Setiausaha Barisan Nasional Wilayah Persekutuan, Datuk Rizalman Mokhtar pada majlis pelancaran Manifesto Barisan Nasional Wilayah Persekutuan 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Asyraf Hamzah

Tengku Adnan ketuai 'kumpulan ketua kampung' BN Wilayah

KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang diumumkan hari ini, adalah 'kumpulan ketua kampung' dipilih berdasarkan kehendak akar umbi dan pengundi di 13 kerusi Parlimen.

Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata semua calon mempunyai kekuatan masing-masing dan mereka dipilih berdasarkan prestasi di kerusi diwakili mereka walaupun ada tiga calon baharu untuk PRU-14 ini.

Beliau berkata, dengan menggunakan tanda pagar #teamketuakampung semua calon berkenaan adalah simbol parti untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

"Kita mengekalkan konsep kampung walaupun calon ini berkhidmat di kawasan bandar kerana BN sentiasa memberikan khidmat kepada semua rakyat.

"Kita mahu menjadi mata dan telinga untuk masyarakat serta tidak bekerja pada musim pilihan raya saja seperti pembangkang," katanya pada sidang media selepas melancarkan Manifesto BN Wilayah Persekutuan dan penyampaian watikah kepada calon BN di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Pengumuman calon dibuat Setiausaha BN Wilayah Persekutuan, Datuk Rizalman Mokhtar.

Tengku Adnan yang kekal bertanding di Putrajaya berkata, tiga calon baharu ialah di Bandar Tun Razak, Bukit Bintang dan Seputeh.

Katanya, lima calon dinamakan semula termasuk Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Zulhasnan Rafique yang diharap akan memberi kemenangan besar kepada BN.

"Untuk PRU-14 kali ini, tiga kerusi bertukar parti iaitu Bandar Tun Razak, Wangsa Maju dan Segambut.

"Wangsa Maju dipulangkan semula kepada MCA, manakala MCA menyerahkan Bandar Tun Razak kepada calon UMNO.

"Kita ada konsep permuafakatan dan sentiasa menyokong antara satu sama lain. Seperti di Segambut, GERAKAN rela meminjam kerusi itu kepada MyPPP. Ini uniknya BN," katanya.

Mengulas lanjut mengenai manifesto, Tengku Adnan berkata, lima teras dengan 65 inisiatif dalam manifesto itu tidak menggunakan banyak duit kerajaan, sebaliknya menggunakan konsep inisiatif perkongsian swasta.

"Pendekatan kami berbeza dengan pembangkang, kami gunakan inisiatif swasta untuk menjayakan apa yang dirancang dalam manifesto ini, " katanya.

Berita Harian X