Ahad, 22 April 2018 | 1:25pm
KETUA UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sebagai calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Lembah Pantai. - Foto Sairien Nafis
PENJELAJAH Grand Slam pertama negara, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Raja Nong Chik pilihan tepat - Qobin

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sebagai calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Lembah Pantai, dilihat pilihan tepat untuk merampas kerusi itu daripada PKR.

Penjelajah Grand Slam pertama negara, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, berkata ia keputusan yang sangat tepat dan dinantikan penduduk berbilang kaum di kawasan berkenaan.

"Walaupun kalah pada pilihan raya umum lalu kerana difitnah, sifat pemaaf dan kekal turun padang membantu penduduk pelbagai kaum di Lembah Pantai menjadikan beliau amat dekat di hati penduduk.

"Beliau amat disenangi, tidak lokek dengan senyuman dan menghabiskan khidmat baktinya di Lembah Pantai setiap masa," katanya kepada NSTP, hari ini.

Raja Nong Chik adalah antara 13 calon BN Wilayah Persekutuan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang diumumkan Setiausaha BN Wilayah Persekutuan, Datuk Rizalman Mokhtar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Muqharabbin atau lebih dikenali sebagai Qobin berkata, secara purata Raja Nong Chik turun padang antara lima hingga lapan program sehari.

Katanya, ini berbeza dengan calon pakatan pembangkang yang mahu mengekalkan kerusi Parlimen berkenaan hanya untuk bergelar 'YB' (Yang Berhormat) tetapi mengabaikan keperluan penduduk.

Beliau berkata, Ahli Parlimen yang menyandang kerusi itu, Nurul Izzah Anwar dilihat tidak bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan nasib penduduk setempat.

"Bukan bermaksud beliau langsung tidak buat kerja, tetapi sekadar datang tunjuk muka sekejap dan menutup kelemahan mereka dengan menyalahkan penguat kuasa dan jabatan kerajaan.

"Saya lahir dan membesar di Lembah Pantai. Kejayaan dan hidup saya bermula di sini. Saya lihat sendiri usaha dan keringat Raja Nong Chik dalam membantu rakyat," katanya.

Dalam pada itu, seorang penyokong tegar BN dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka, Lembah Pantai, Kamarudin Hamid, 68, yakin BN akan merampas semula kerusi Parlimen Lembah Pantai.

"Walaupun berkerusi roda akibat kaki kanan dipotong, saya sanggup datang ke PWTC untuk memberikan sokongan moral kepada Raja Nong Chik," katanya.

Berita Harian X