Ahad, 22 April 2018 | 3:44pm
DARI kiri: Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ong Siang Liang, Datuk Dr Loga Bala Mohan, dan Heng Sinn Yee. - Foto Asyraf Hamzah

BN Wilayah Persekutuan tampil 6 muka baharu

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional Wilayah Persekutuan (BN WP) hari ini mengumumkan calon bagi kesemua 13 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan, yang menampilkan gabungan orang lama dan muka baharu, termasuk tiga calon wanita MCA untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

Barisan calon BN WP terdiri daripada enam muka baharu, tiga penyandang, dua lagi dicalonkan semula dan dua tokoh pemimpin tempatan yang dinamakan semula untuk menggalas cabaran di kerusi masing-masing.

Daripada enam muka baharu yang diketengahkan, tiga calon daripada Wanita MCA adalah calon muka baharu iaitu Tan Ean Ean bagi kerusi Bukit Bintang, Heng Sinn Yee (Cheras) dan Chan Quin Er (Seputeh).

Muka baharu yang lain ialah Adnan Abu Seman (UMNO-Bandar Tun Razak), Ong Siang Liang (Gerakan-Kepong) dan Datuk Dr Loga Bala Mohan (MyPPP-Segambut).


CALON BN bagi kerusi Parlimen di Bandar Tun Razak, Adnan Abu Seman (tengah) diraikan penyokongnya selepas pelancaran Manifesto dan Sesi Perkenal Calon BN Wilayah Persekutuan di PWTC, Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad

Senarai calon BN WP diumumkan Setiausaha BN WP, Datuk Rizalman Mokhtar semasa pelancaran Manifesto BN WP yang bertemakan "Aspirasi Rakyat Agenda Kami" dan penyerahan watikah kepada calon-calon bertanding oleh Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di PWTC di sini.

Tengku Adnan yang juga Pengerusi BN WP dan Menteri Wilayah Persekutuan akan mempertahankan kerusi Parlimen Putrajaya untuk penggal keempat. (2004, 2008 dan 2013)

Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa yang juga Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ketua UMNO Labuan Datuk Rozman Isli masing-masing akan mempertahankan kerusi Parlimen Titiwangsa dan Labuan.

Tokoh politik yang membuat penampilan semula di kerusi masing-masing adalah Tan Sri Zulhasnan Rafique, bekas menteri Kabinet dan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (UMNO-Setiawangsa) dan Ketua Bahagian MCA Wangsa Maju Datuk Seri Yeow Teong Look (MCA-Wangsa Maju).

Zulhasnan pernah mewakili Parlimen Setiawangsa selama dua penggal selepas memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum ke-11 dan 12.

Yeow pula pernah memenangi kerusi Parlimen Wangsa Maju pada PRU-11 pada 2004.

Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Naib Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau pula sekali lagi dinamakan calon BN masing-masing bagi kerusi Parlimen Lembah Pantai dan Batu.

Raja Nong Chik membuat penampilan pertama sebagai calon di Parlimen Lembah Pantai pada PRU-13 namun tewas kepada Nurul Izzah Anwar daripada PKR, manakala Lau pernah bertanding di Parlimen Batu pada PRU-13 namun tewas kepada Tian Chua juga daripada PKR.

Bercakap kepada wartawan selepas pengumuman tersebut, Tengku Adnan berkata barisan calon yang diumumkan merupakan pilihan terbaik yang dipercayai dapat membantu BN memenangi kerusi-kerusi yang dipertandingkan di Wilayah Persekutuan pada pilihan raya kali ini, sekali gus membawa kepada perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan kepada warga Wilayah Persekutuan.

Katanya, beliau juga yakin BN akan mencapai prestasi yang lebih baik kali ini berbanding PRU-13 pada 2013 di mana BN hanya memenangi empat daripada 13 kerusi yang dipertandingkan di Wilayah Persekutuan.

"Kami mempunyai satu pasukan yang baik. Ini pasukan Ketua Kampung dan kami ikut konsep Ketua Kampung untuk berkhidmat kepada lima hingga tujuh juta orang di Wilayah Persekutuan," katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata calon-calon yang diketengahkan kali ini juga adalah selaras dengan permintaan dan aspirasi pengundi akar umbi.

Mengambil contoh Zulhasnan yang akan sekali lagi bertanding di Setiawangsa, beliau berkata, pemilihan semula Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat itu adalah berikutan permintaan akar umbi.

"Setelah menjalankan analisis, kami mendapati Zulhasnan punyai kelebihan. Beliau memenangi kerusi itu pada PRU-12 dan tidak bertanding pada PRU-13. Ini tidak bermakna Ahmad Fauzi tidak melakukan tugas tetapi kita nak menang lebih besar di Setiawangsa," katanya.

Katanya, pemilihan Raja Nong Chik juga berdasarkan prestasi beliau dalam memberi khidmat berterusan kepada penduduk di Lembah Pantai walaupun bukan merupakan wakil rakyat di situ.

"Saya minta pengundi di Wilayah Persekutuan supaya memilih orang yang dapat membantu mereka, pilihlah orang yang akan memastikan mereka akan mendapat pembelaan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X