Ahad, 22 April 2018 | 6:20pm
CALON Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersama 12 calon Parlimen bagi Wilayah Persekutuan selepas pengumuman dibuat Setiausaha BN Wilayah Persekutuan, Datuk Rizalman Mokhtar pada majlis pelancaran Manifesto BN Wilayah Persekutuan 2018 di PWTC, Kuala Lumpur. - Foto Asyraf Hamzah

Sembilan kerusi Wilayah Persekutuan saksi saingan 3 penjuru

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan mengumumkan 13 calon untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 dengan mengekalkan tiga penyandang; dua muka lama yang membuat kemunculan semula; enam muka baharu; tiga kerusi bertukar parti serta tiga calon wanita ditampilkan.

Tiga calon yang mengekalkan kerusi ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) adalah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Putrajaya; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Titiwangsa dan Datuk Rozman Isli kekal di Labuan.

Turut bertanding di kerusi sama ketika PRU-13, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin untuk kerusi Lembah Pantai dan Naib Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai. Kedua-duanya kalah pada PRU-13.

Dua calon dinamakan semula adalah Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Zulhasnan Rafique bagi kerusi Setiawangsa dan Datuk Yew Teong Look kerusi Wangsa Maju (kerusi dipulangkan semula kepada MCA).

Enam muka baharu diumumkan iaitu Datuk Dr Loga Bala Mohan (Segambut); Heng Sinn Yee dari MCA (Cheras), Ong Siang Liang- GERAKAN (Kepong), Adnan Abu Seman wakil UMNO di kerusi Bandar Tun Razak yang dulunya kerusi MCA; Ann Tan Ean Ean - MCA (Bukit Bintang) dan Chan Quin Er -MCA (Seputeh).

Nama calon itu diumumkan Setiausaha BN Wilayah Persekutuan, Datuk Rizalman Mokhtar.

Zulhasnan pernah bertanding di kerusi Wangsa Maju pada PRU-10 dan kerusi Setiawangsa pada PRU-11 dan PRU-12 tetapi tidak bertanding pada 2013 manakala Teong Lock pernah bertanding di kerusi Wangsa Maju pada 2008 tetapi kalah yang kemudiannya kerusi itu dipinjamkan kepada UMNO yang meletakkan calon, Datuk Mohd Shafie Abdullah pada PRU-13, juga tewas.

Dengan pengumuman itu, sekurang-kurangnya ada sembilan kerusi bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru di Wilayah Persekutuan membabitkan nama besar.

Tengku Adnan yang juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan bakal bertanding dengan dua lagi calon di Putrajaya iaitu wakil PAS, Zainal Kidam dan calon yang menggunakan logo PKR, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat.


CALON Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersama 12 calon Parlimen bagi Wilayah Persekutuan selepas pengumuman dibuat Setiausaha BN Wilayah Persekutuan, Datuk Rizalman Mokhtar pada majlis pelancaran Manifesto BN Wilayah Persekutuan 2018 di PWTC, Kuala Lumpur. - Foto Asyraf Hamzah

Sementara itu, Johari akan bertanding menentang calon PAS, Mohammad Noor Mohammad dan calon PKR, Rina Harun yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Raja Nong Chik pula dijangka berhadapan dua muka baharu iaitu calon PAS, Fauzi Abu Bakar dan PKR mencalonkan, Fahmi Fadzil.

Loga Bala yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan bakal menentang Mohd Solleh Abd Razak, calon PAS dan Hannah Yeoh wakil DAP yang bertanding dengan logo PKR.

Zulhasnan yang bertanding di Setiawangsa akan berhadapan Ubaid Abdul Akla calon PAS dan PKR yang dijangka akan diumumkan tidak lama lagi.

Teong Look yang bertanding di Wangsa Maju dijangka berhadapan calon PAS, Razali Tumiran dan kemungkinan penyandang kerusi dari PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong bertanding semula.

Dominic Lau yang dinamakan semula bertanding di Batu bakal berhadapan calon PAS, Azhar Yahya dan calon PKR yang belum dinamakan manakala penyandang kerusi itu, Tian Chua dilaporkan akan digugurkan.

Calon baru untuk Bandar Tun Razak, Adnan yang juga Ketua Pemuda Cawangan Persiaran Kilang bakal berhadapan calon PAS, Dr Rosni Adamdan calon PKR yang masih belum dinamakan lagi.

Rozman pula akan bertanding menentang calon PAS, Ahmad Junit Ahmad Alit dan calon PKR juga belum dinamakan lagi.

Berita Harian X