Selasa, 24 April 2018 | 12:03am
PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika berucap di majlis Pelancaran Dokumen Malaysia Sejahtera di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Tiada percakaran dalam gabungan Gagasan Sejahtera

PUTRAJAYA: Putrajaya: Gagasan Sejahtera (GAGASAN) diterajui PAS yang akan bertanding 160 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), menegaskan tidak akan berlaku percakaran dalam penentuan calon dan pembahagian kerusi pakatan itu.

Pengerusi GAGASAN, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata pembahagian kerusi antara PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) berjalan lancar, tidak seperti Pakatan Harapan yang menggunakan logo PKR yang masih bercakaran dan belum menyelesaikan pembahagian kerusi sehingga kini.

"Kita akan guna satu logo sahaja termasuk di Sabah dan Sarawak. Bukan macam satu lagi 'kem' di sini kuku lain, sana kuku lain.

"Kita tidak akan bercakaran, kita tidak ada kuku (bercakaran)," katanya pada sidang selepas Majlis Pelancaran Dokumen Malaysia Sejahtera di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Presiden IKATAN, Tan Sri Abdul Khadir Sheikh Fadzir dan Presiden BERJASA, Abd Kadir Mamat.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, parti mesra PAS, antaranya Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Generasi Baru (PGB) pula akan menggunakan simbol masing-masing.

"Bagaimanapun, kami akan memastikan tiada pertembungan antara calon kami (di mana-mana kerusi)," katanya.

Beliau yang juga Presiden PAS berkata, pihaknya akan meletakkan calon PAS untuk kerusi Parlimen Langkawi.

"Kita menghormati keputusanAbdul Kadir yang tidak bersedia untuk bertanding dalam PRU-14," katanya.

Sebelum ini, PAS menamakan Abdul Kadir untuk kerusi Parlimen Langkawi, namun ditolak oleh Abdul Kadir.

Selain itu, Abdul Hadi memaklumkan GAGASAN menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi parlimen pada PRU-14 bagi memenangi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

"PAS mewujudkan GAGASAN kerana berdasarkan pengalaman kerjasama politik sebelum ini bersama PKR dan DAP.

Ini membuka ruang kepada kami mewujudkan gabungan ini yang mengamalkan amalan politik matang dan sejahtera.

Terdahulu, dokumen Malaysia Sejahtera dibentangkan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengandungi Manifesto Malaysia Sejahtera, dokumen Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS2051) dan Dokumen Hijau.

Tuan Ibrahim turut membentangkan Manifesto Malaysia Sejahtera peringkat kedua yang menggariskan 84 tawaran kepada 12 kelompok masyarakat iaitu wanita; orang kurang upaya (OKU); anak muda; petani, penternak dan nelayan; peneroka FELDA; penjawat awam; pekerja swasta; warga emas dan pesara; orang asal; usahawan; korporat dan prihatin alam sekitar.

Antara tawaran berkenaan termasuk memperkenalkan cuti khas untuk menjaga ibu bapa yang sakit kronik dan kemudahan cuti bersalin tiga bulan tanpa had bilangan anak kepada penjawat awam, penyeragaman elaun kepada OKU sebanyak RM600 sebulan dan pelupusan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pewujudan Endowment Pendidikan untuk anak muda.

Pada bulan lalu, GAGASAN melancarkan Manifesto Malaysia Sejahtera peringkat pertama yang menawarkan 20 perkara utama bagi menghadapi PRU-14.

Berita Harian X