Selasa, 24 April 2018 | 4:18pm
PENGARAH SPR Pahang, Datuk Zamree Hamli. - Foto Muhd Asyraf Sawal

231 borang penamaan calon sudah dijual

KUANTAN: Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Pahang sudah menjual 231 borang penamaan calon sehingga semalam.

Pengarahnya, Datuk Zamree Hamli berkata, daripada jumlah itu, 59 borang dijual untuk kawasan Parlimen manakala 172 borang bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Selain parti politik yang mahu bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) , 17 borang dijual kepada mereka yang mahu bertanding sebagai calon bebas.

"Kita menjangka jumlah pembelian borang akan meningkat menjelang beberapa hari sebelum hari penamaan calon Sabtu ini memandangkan masih ada parti yang belum mengumumkan calon yang akan bertanding," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Ditanya mengenai persiapan SPR Pahang, Zamree berkata, pihaknya sudah bersedia sepenuhnya bagi mengharungi PRU-14 membabitkan 57 pegawai dan kakitangan ditugaskan sepanjang tempoh itu.

Selain itu, katanya 15,726 petugas pilihan raya termasuk daripada kakitangan jabatan dan agensi lain turut terbabit bertugas di pusat mengundi seluruh negeri .

"Kita turut menggunakan perkhidmatan helikopter bagi membawa peti undi dari kawasan pedalaman untuk proses pengiraan selepas selesai proses membuang undi, kawasan berkenaan adalah Cameron Highlands, Jerantut, Lipis dan Rompin.

"Kita jangka beberapa kawasan akan menjadi tumpuan dalam pilihan raya kali ini termasuk Parlimen Bentong, Bera, Pekan, Temerloh dan Kuantan," katanya.

Zamree juga menasihati pengundi supaya sentiasa mengikuti notis daripada pejabat pengurus pilihan raya bagi maklumat tempoh masa pusat mengundi di kawasan parlimen masing-masing.

Seramai 823,981 pengundi direkodkan di negeri merangkumi 14 Parlimen dan 42 DUN dan 21,358 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan polis akan mengundi awal di 48 pusat mengundi," katanya.

Berita Harian X