Selasa, 24 April 2018 | 6:24pm

5,468 borang pencalonan Parlimen, DUN dijual

PUTRAJAYA: Setakat hari ini, sebanyak 5,468 borang pencalonan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sudah terjual di setiap negeri dan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Unit Komunikasi Korporat SPR, berkata daripada jumlah itu, penjualan borang pencalonan Parlimen merekodkan sebanyak 1,836 borang manakala, DUN ialah sebanyak 3,632 borang.

"Sabah dan Labuan mencatatkan jumlah jualan borang pencalonan terbanyak bagi Parlimen dan DUN iaitu masing-masing sebanyak 344 dan 726 borang.

"Pada masa sama, Perlis merekodkan jumlah jualan paling sedikit bagi penjualan borang pencalonan Parlimen iaitu sebanyak 22 borang," katanya, hari ini.

Setiap set borang pencalonan Parlimen dan DUN masing-masing dijual pada harga RM20.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa 7 April lalu selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong bagi memberi laluan kepada PRU-14.

Berikutan itu, SPR menetapkan hari pengundian pada 9 Mei menjadikan ia kali keempat hari pengundian dilangsungkan pada hari bekerja manakala proses penamaan calon ditetapkan pada 28 April.

Proses pengundian awal ditetapkan pada 5 Mei dan tempoh berkempen berlangsung selama 11 hari bermula hari penamaan calon.

Jumlah kerusi Parlimen yang dipertandingkan bagi PRU-14 kekal 222 kerusi manakala kerusi DUN pula sebanyak 505 kerusi.

JUMLAH PENJUALAN BORANG PENCALONAN PARLIMEN (P) dan DUN (D) SEHINGGA 23 APRIL 2018 MENGIKUT NEGERI.

1. WPKL / PJAYA - 84P

2. SELANGOR - 192P - 465D

3. SARAWAK - 248P

4. SABAH/LABUAN - 344P - 726D

5. JOHOR - 234P - 379D

6. PAHANG - 68P - 179D

7. KELANTAN - 69P - 194D

8. TERENGGANU - 64P - 210D

9. KEDAH - 117P - 273D

10. PERAK - 153P - 375D

11. PULAU PINANG - 133P - 446D

12. MELAKA - 24P - 108D

13. N. SEMBILAN - 39P - 136D

14. PERLIS - 22P - 96D

15. IBU PEJABAT - 45P - 45D

JUMLAH > 1,836 P / 3,632 D

JUMLAH KESELURUHAN > 5,468 BORANG

Berita Harian X