Rabu, 25 April 2018 | 11:16am
MOHD Azizuddin Mohd Sani

BN berpeluang menang kerusi disandang pembangkang di WP

KUALA LUMPUR: Berikutan pengumuman nama 13 calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding di Wilayah Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini, beberapa penganalisis politik percaya parti gabungan itu mempunyai peluang yang baik untuk merampas sembilan daripada kerusi yang disandang pembangkang melalui pilihan raya umum lepas.

Bagaimanapun, kata mereka, memandangkan arus politik yang ada sekarang, BN perlu mempunyai strategi dan kepimpinan padu untuk menjamin kemenangan calonnya.

Pensyarah politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, senarai calon berkenaan, yang terdiri daripada ahli politik kanan, golongan muda dan muka baharu, mencerminkan semangat kental dan kesungguhan BN untuk merampas kembali kerusi yang terlepas daripadanya pada pilihan raya umum lepas.

"Walaupun petanda yang wujud adalah menggalakkan, tetapi saya tetap berpendapat BN akan berdepan  dengan persaingan sengit. Lagi pun, sentimen penduduk bandar dan pengundi muda, kadangkala  sukar untuk diramal," katanya apabila dihubungi Bernama.

Baru-baru ini, setiausaha BN Wilayah Persekutuan Datuk Rizalman Mokhtar mengumumkan senarai calon BN bagi Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada enam muka baharu, tiga penyandang dan dua calon yang diketengahkan semula serta dua pemimpin akar umbi untuk bertanding bagi 13 kerusi Parlimen.

Mohd Azizuddin optimis BN akan mencatat prestasi lebih baik kali ini berikutan pemilihan pemimpin akar umbi dan veteran seperti ketua UMNO bahagian Setiawangsa dan Lembah Pantai iaitu Tan Sri Zulhasnan Rafique dan Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin sebagai calonnya. 

Berkongsi sentimen serupa, penganalisis politik Datuk Anbumani Balan berkata calon berkenaan  perlu membuang sikap 'bertanding semata-mata untuk bertanding', terutama bagi kerusi yang menjadi kubu kuat DAP seperti Kepong, Cheras, Bukit Bintang dan Seputeh, tetapi sebaliknya berjuang dengan penuh semangat untuk menang.

Menurut beliau, walaupun mereka mungkin berupa 'underdog', tetapi, sekiranya jentera parti bijak menyusun strategi, BN mempunyai peluang yang baik untuk menang, manakala calon berpengalaman seperti Zulhasnan dan Raja Nong Chik pasti mempunyai kelebihan, berbanding calon pembangkang.

"Meletakkan Adnan Abu Seman di Bandar Tun Razak adalah langkah bijak dan berani. Ini akan menolong menangani keperluan warga bandar dan memahami dengan lebih mendalam set minda mereka," kata penganalisis politik itu, yang meramalkan bahawa kali ini, BN mempunyai peluang lebih cerah untuk merampas kembali kerusi Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, BN menguasai kerusi Titiwangsa dan Setiawangsa di Wilayah  Persekutuan Kuala Lumpur serta kerusi Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan. Sembilan lagi kerusi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ialah Kepong (DAP), Batu, Wangsa Maju (Keadilan), Segambut (DAP), Bukit Bintang (DAP), Lembah Pantai (Keadilan), Seputeh (DAP), Cheras (DAP) dan Bandar Tun Razak  (disandang bekas anggota Keadilan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang kemudian menjadi anggota Parlimen Bebas).

Ditanya sama ada perbuatan sabotaj akan berlaku sekiranya orang tertentu tidak diletakkan sebagai calon, Anbumani berkata, perbuatan itu sentiasa menjadi isu besar dalam mana-mana parti politik dan terserahlah kepada kepimpinan tertinggi parti untuk memahami emosi dan kemahuan pengundi sebelum  membuat keputusan tentang pemilihan calon.

Sementara itu, Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed dari UUM pula berkata keputusan BN mengumumkan calonnnya lebih awal merupakan satu strategi baik kerana ia akan memberinya cukup masa untuk menyelesaikan isu, termasuk cubaan sabotaj dan mempunyai lebih banyak masa untuk mendekati pemilih.

Walaupun beliau percaya tiada laluan mudah bagi BN, namun katanya, parti gabungan itu tetap  mempunyai peluang yang baik untuk merampas kembali kerusi yang terlepas daripada genggamannya  berdasarkan barisan calon yang kuat serta berkemampuan yang diumumkan itu.

"Ia adalah barisan yang mantap dan seperti yang dapat kita saksikan, wujud gabungan antara muka lama serta muka baharu dan muda, termasuk lebih banyak wanita. Saya berpendapat BN mempunyai peluang  baik untuk merampas kembali Lembah Pantai, berikutan penambahan pengundi Melayu selepas urusan  persempadanan kawasan pilihan raya oleh SPR.

"BN mengambil langkah bijak apabila meletakkan lebih banyak calon wanita kerana ia memberi pendedahan dan pengalaman berguna kepada mereka dalam mengurus pengundi muda. Calon muda lebih mudah memahami apa yang dikehendaki golongan muda daripada kerajaan. Ini adalah barisan calon terbaik  dan sejajar dengan semangat serta aspirasi BN," kata beliau.-- BERNAMA

Berita Harian X