Rabu, 25 April 2018 | 2:22pm
PENGARAH SPR Kelantan, Fakhrul Razi Ab Wahab, (kanan) bersama petugas SPR Kelantan, membuat simulasi pengiraan undi dibilik gerakan PRU-14 di Wisma Persekutuan, Kota Bharu. - Foto Fathil Asri

SPR Kelantan sudah jual 771 borang penamaan calon

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kelantan sudah menjual 771 borang penamaan calon, termasuk 577 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), setakat malam tadi.

Pengarahnya, Fakhrul Razi Ab Wahab, berkata jumlah itu merangkumi 19 borang dijual kepada mereka yang mahu bertanding sebagai calon bebas membabitkan 11 di kerusi DUN dan lapan lagi di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Kami menjangkakan lebih banyak jualan hingga hari penamaan calon pada Sabtu ini," katanya kepada NSTP, hari ini.

Beliau berkata, ada 1.04 juta pemilih berdaftar di kesemua 14 Parlimen dan 45 DUN di negeri ini.

Katanya, lebih 19,000 petugas akan membantu operasi SPR Kelantan pada pilihan raya kali ini.

Selain itu, beliau berkata, SPR negeri akan menggunakan khidmat helikopter untuk menghantar kotak undi ke kawasan pedalaman di Gua Musang.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali, turut mengesahkan akan bertanding sebagai calon bebas di kerusi Parlimen Pasir Mas pada PRU-14.

Berita Harian X