Rabu, 25 April 2018 | 5:29pm
PENGERUSI PKR Negeri, Azan Ismail. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Bekas wakil rakyat BN taruhan PKR Terengganu

KUALA TERENGGANU: Bekas Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Nor Othman, antara 12 calon yang menjadi pertaruhan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mohd Nor Othman yang juga bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) negeri diletakkan sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang.

Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail, berkata selain itu 12 lagi calon dengan pelbagai latar belakang mewakili parti itu pada PRU-14, termasuk beliau yang kekal bertanding di kerusi DUN Bandar.

Beliau berkata, langkah PKR mengetengahkan gabungan dua calon wanita, calon muda dan senior mampu memberi kemenangan kepada pakatan pembangkang.

"PKR negeri berpuas hati dengan senarai calon dipilih PKR Pusat dan kita yakin gabungan calon yang terdiri daripada pelbagai latar belakang akan memberi kelebihan kepada PKR dan PH (pakatan harapan) pada PRU-14 ini," katanya.

Azan berkata, dua kerusi Parlimen ditandingi PKR iaitu Parlimen Dungun diwakili Abd Rahman Yusof, manakala kerusi Parlimen Kemaman menamakan Mohd Huzaifah Md Suhaimi sebagai calon.

Sebelas kerusi DUN ditandingi PKR masing-masing Tengku Roslan Tengku Othman @ Tengku Ramli (Kota Putera); Wan Mokhtar Wan Ibrahim (Permaisuri); Abu Bakar Abdullah (Seberang Takir) dan Fatimah Lailati Omar (Bukit Tunggal).

Selain itu PKR menamakan Ahmad Sabri [email protected] sebagai calon DUN Alur Limbat, Syarifah Norhayati Syed Omar (Telemung); Mohammad Padeli Jusoh (Rantau Abang); Husain Safri Muhammad (Chukai) dan Mohd Zukri Aksah (Air Putih).

Berita Harian X