Rabu, 25 April 2018 | 8:49pm
BARU Bian (duduk tiga dari kanan) dan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen (duduk tiga dari kiri) mengangkat tangan calon-calon parti PKR di Majlis Pengumuman Calon PKR Sarawak di Hotel Grand Continental, Kuching. - Foto Nadim Bokhari

Baru pindah kawasan, PKR tanding 15 kerusi, PAN 6

KUCHING: Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, dikatakan mengambil kesempatan daripada kekalutan situasi politik di Selangau untuk mencuba nasib di kawasan tengah Sarawak itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Baru berkata, pemilihan beliau dibuat pada saat akhir selepas menerima permintaan daripada pemimpin dan ahli PKR Cawangan Selangau.

"Saya bersetuju untuk bertanding di kawasan itu selepas meneliti perkembangan politik di kawasan majoriti pengundi Iban itu.

"Walaupun saya bukan dari etnik Iban, saya boleh bercakap dalam bahasa Iban dan percaya saya di terima pengundi di sana," katanya selepas pengumuman calon PKR dan Parti Amanah Negara (PAN), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak yang juga Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Baru yang berketurunan Lun Bawang bertanding di Parlimen Limbang di utara Sarawak.

Kerusi Selangau dilabel antara 'kawasan panas' pada PRU-14 selepas penyandang kawasan terbabit, Datuk Joseph Entulu Belaun digugurkan dari senarai calon BN selepas dipecat dari Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Mengenai peluang penyandang Parlimen Miri, Dr Micheal Teo untuk mempertahankan kerusi itu, Baru berkata, beliau yakin kejayaan itu akan berulang apabila BN menampilkan semula calon sama sebelum ini, Datuk Sebastian Ting.

Terdahulu, Baru mengumumkan senarai 15 calon PKR yang akan bertanding di Sarawak.

Mereka ialah Datuk Dr Nor Irwan Ahmad Nor (Petra Jaya), Willie Mongin (Puncak Borneo), Norina Utot (Sri Aman), Nicholas Bawin (Lubok Antu), Ali Biju (Saratok), Satu Anchom (Kanowit), Abdul Jalil Bujang (Mukah), Baru Bian (Selangau), Abun Sui Anyi (Hulu Rejang), Jemat Panjang (Sibuti), Dr Micheal Teo (Miri), Roland Egan (Baram), Dr Ricardo Baba (Limbang) dan Denny Piri (Lawas).

Sementara itu, Setiausaha PAN Sarawak, Abang Abdul Halil Abang Naili, pula mengumumkan senarai enam calon parti berkenaan.

Mereka ialah Mohamad Fidzwan Zaidi (Santubong), Sopian Julaihi (Kota Samarahan), Othman Mustapha (Batang Sadong), Narudin Mentali (Batang Lupar), Mohamad Fadillah Sabali (Tanjung Manis) dan Andri Zulkarnain Hamdan (Igan).

Berita Harian X