Khamis, 26 April 2018 | 2:22am
Surat yang viral mengenai pelantikan Syed Ali Alhabshee dilantik mengambil alih jentera PRU-14 bagi Parlimen Wangsa Maju.

Syed Ali ambil alih jentera Wangsa Maju?

KUALA LUMPUR: Satu surat memaklumkan bahawa Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee dilantik mengetuai jentera Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Parlimen Wangsa Maju tersebar menerusi WhatsApp sejak malam tadi.

Surat bertarikh 24 April 2018 itu dialamatkan kepada Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah.

Surat ditandatangani Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor itu menyatakan keputusan pengambilalihan jentera PRU Parlimen Wangsa Maju dibuat berdasarkan perkembangan terkini demi kelangsungan Barisan Nasional (BN)

Salinan surat turut dilampirkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak serta timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sementara itu, Mohd Shafei ketika dihubungi malam tadi berkata, beliau belum menerima sebarang surat berkaitan dan tidak dapat mengesahkan perkara itu.

"Mungkin benar (pengambilalihan jentera PRU Wangsa Maju), tapi saya belum terima surat berkaitan," katanya ketika dihubungi NSTP di sini.

Syed Ali pula ketika dihubungi berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada Tengku Adnan.

Katanya, beliau tahu mengenai penyebaran surat berkenaan namun tidak mengulas lanjut.

"Segala-galanya boleh berlaku. Jadi saya minta perkara ini ditanya terus kepada Tengku Adnan, tambahan pula surat itu bukan ditujukan kepada saya," katanya.

Difahamkan polemik berlaku apabila kerusi Parlimen Wangsa Maju dikembalikan kepada MCA yang mempertaruhkan ketua bahagiannya Datuk Seri Yeow Teong Look sebagai calon.

Pada masa sama, Mohd Shafei dikatakan menaruh harapan dicalonkan semula di kerusi sama biarpun tewas dengan majoriti 5,511 undi pada PRU-13 kepada Datuk Dr Tan Kee Kwong (PKR) yang mendapat 31,641 undi manakala Shafei (BN) mendapat 26,130 undi.

Berita Harian X