Khamis, 26 April 2018 | 10:02pm
DATUK Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berucap pada Majlis Anugerah Cemerlang UPSR, PT3 dan SPM 2017 Yayasan Pendidikan Cheras, hari ini. - Foto BERNAMA

UMNO, BN Wilayah Persekutuan ambil alih di Wangsa Maju

KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan kini mengambil alih jentera parti itu di Parlimen Wangsa Maju, selepas kepemimpinan tempatan gagal memberi kerjasama dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata arahan pengambilalihan itu sudah dimaklumkan kepada kepemimpinan UMNO Wangsa Maju menerusi surat yang diutuskan kelmarin.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat kerana ada komponen BN di bahagian itu tidak memberi sokongan kepada calon yang diketengahkan parti dalam PRU-14 ini.

"Bila perhubungan negeri buat keputusan ambil alih, kalau (komponen yang menimbulkan masalah) UMNO, kita akan suruh UMNO (negeri) ambil alih, kalau MCA, maka MCA (negeri) mengambil alih, begitu juga kalau MIC.

"Jadi di Wangsa Maju, saya putuskan Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Syed Ali al-Habshee dan pasukan kita mengambil ambil alih peranan sementara," katanya dalam menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang UPSR, PT3 dan SPM 2017 Yayasan Pendidikan Cheras di sini tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas viral sepucuk surat ditandatanganinya yang dialamatkan kepada Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Dr Shafei Abdullah, bertarikh 24 April.

Menerusi surat itu, pengambilalihan jentera yang berkuatkuasa serta merta itu dibuat demi kelangsungan operasi jentera PRU BN di Parlimen Wangsa Maju.

Tengku Adnan berkata, BN tidak akan bertoleransi dengan sebarang sikap mana-mana pemimpin yang mampu menjejaskan parti.

"Kita tidak nak ada orang yang menjadi penghalang kepada kerja yang patut kita lakukan, kerana di Wilayah Persekutuan ini, BN mahu menang kerusi. Saya mahu menang kesemua kerusi.

"Mesti ada sebab kenapa kamu tidak dapat menjadi calon. Kita perlu walak dan percaya kepada apa yang diputuskan pucuk kepemimpinan parti," katanya.

Berita Harian X