Sabtu, 28 April 2018 | 3:10pm
CALON BN Pulau Pinang N.16 Perai, M Suresh. - Foto Milail Ong

Pertembungan 6 penjuru di DUN Perai

BATU KAWAN: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai bakal menyaksikan pertandingan enam penjuru, membabitkan calon daripada Barisan Nasional (BN), Parti Alternatif Rakyat (PAP), Penang Front Party (PFP), PKR, Parti Rakyat Malaysia (PRM), dan Bebas.

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Parlimen Batu Kawan, Dr Anun Man di Pusat Penamaan Calon di Kolej Vokasional Seberang Perai di sini, hari ini.

Penyandang DUN Perai, P Ramasamy dari PKR-DAP yang dicalonkan semula itu bakal bertemu dengan Datuk Ooi Khar Giap (PFP), M Suresh (BN), R Kumary (Bebas), G Asoghan (PAP), dan M Samuganathan (PRM).

Selain DUN Perai, dua lagi DUN iaitu Bukit Tengah dan Bukit Tambun, masing-masing bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru, membabitkan calon dari BN, PKR dan PAS, PRM, dan PFP.

Manakala bagi kerusi Parlimen Batu Kawan, SPR menerima empat pencalonan iaitu dari PFP, BN, PAS, dan PKR.

Di Parlimen Batu Kawan, BN mencalonkan B Jayanthi, B Jay Kumar (PAS-DHPP), P Kasthuriraani (PKR) dan Datuk Ooi Khar Giap (PFP).

Kerusi Parlimen Batu Kawan sebelum ini disandang Kasthuriraani, dengan majoriti 25,962 undi pada PRU-13.

Terdahulu, proses penamaan calon yang bermula pada jam 9 pagi, berlangsung aman tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Berita Harian X