Ahad, 29 April 2018 | 3:28pm
CALON Barisan Nasional Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong (enam dari kanan) bersama (dari kanan) Calon PAS DUN Pasir Bedamar, S Kumaresan, Calon PAS DUN Changkat Jong, Azhar Mohd Rafiei, Calon Barisan Nasional DUN Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin, Calon Barisan Nasional Pasir Bedamar, Kong Sun Chin, Calon PAS Parlimen Teluk Intan, Dr Ahmad Ramadzan Ahmad Daud, Calon Pakatan Pembangkang Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming, Calon Pakatan Pembangkang DUN Pasir Bedamar, Terence Naidu dan Calon Pakatan Pembangkang DUN Changkat Jong, Muhammad Faizul Mohamed Ismail bergambar selepas selesai mendaftar borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 di Pusat Penamaan Calon di Dewan Bandaran Teluk Intan. - Foto Abdullah Yusof

Saingan tetap sengit tanpa Tian Chua di Batu

TELUK INTAN: Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong menolak tanggapan ketiadaan Tian Chua mempertahankan Parlimen Batu akan memberi laluan mudah kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) ini.

Katanya, ini kerana calon Gerakan yang mewakili BN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, perlu berdepan dengan tiga lagi pencabar membabitkan calon PAS dan Bebas.

"Saya terbaca yang Gerakan dikatakan sudah menang satu kerusi (Batu) sebab penolakan Tian Chua. Tapi ingin saya tegaskan BN belum menang di sana. Kita mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan kemenangan milik kita.

"Saya sudah menasihatkan calon kita (Lau) di Parlimen Batu untuk bekerja lebih keras dan teruskan usaha sebab dalam pilihan raya ini macam-macam boleh jadi. Jadi masih banyak lagi yang perlu dilakukan," katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak Jualan Sentuhan Rakyat di Taman Nenas, di sini, hari ini.

Pencalonan Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang untuk bertanding di kerusi Parlimen itu ditolak oleh pegawai pengurus pilihan raya kawasan ketika proses penamaan calon semalam berikutan satu keputusan mahkamah membabitkan aktivis PKR berkenaan.

Susulan itu, kerusi Parlimen berkenaan menyaksikan Lau yang juga Naib Presiden Gerakan berdepan calon PAS, Azhar Yahya serta V M Panjamothy Muthusamy dan P Prabakaran Paramesnaran yang masing-masing bertanding atas tiket Bebas.

Dilaporkan Tian Chua boleh membuat petisyen selepas PRU14 nanti.

Dalam perkembangan lain, Mah yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan, mengakui berdepan tugas sukar kerana selain dicabar Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming, beliau juga ditentang calon PAS, Dr Ahmad Ramadzan Ahmad Daud.

"Ini kali pertama selepas 23 tahun, PAS bertanding di Parlimen Teluk Intan. Kita akur PRU-14 akan lebih mencabar, namun kita yakin akan menang dan secara keseluruhannya saya bertekad membaiki pencapaian Gerakan berbanding PRU13," katanya.

Sementara itu di Jualan Sentuhan Rakyat yang bermula 8 pagi tadi, pelbagai barangan keperluan seperti gula, minyak masak dan tepung dijual pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran.

- BERNAMA

Berita Harian X