Selasa, 1 Mei 2018 | 2:46pm
CALON PKR bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar pada sidang media bersama calon PKR dalam Parlimen Permatang Pauh di Yayasan Aman, Bukit Mertajam, hari ini. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Mungkin ramai rindu saya: Nurul Izzah

BUKIT MERTAJAM: Calon PKR bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mendakwa beliau tidak lari daripada tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat di Lembah Pantai.

Beliau berkata, dakwaan dirinya lari ke kerusi Parlimen Permatang Pauh kerana tidak mendapat sokongan di Lembah Pantai adalah tidak benar sebaliknya beliau hanya melaksanakan arahan yang diberi pucuk pimpinan PKR.

"Saya tak lari dan akan terus buka pusat khidmat di Lembah Pantai, walaupun ditakdirkan menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh.

"Mungkin masih ramai yang merindui saya, walaupun saya sudah tidak bertanding di sana (Lembah Pantai)," katanya dalam sidang media bersama calon PKR dalam Parlimen Permatang Pauh di Yayasan Aman di sini, hari ini.

Sebelum ini calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal mendakwa Nurul Izzah melarikan diri dan mengabaikan kawasan itu selepas dua penggal menjadi wakil rakyat di sana.

Bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), PKR meletakkan Pegawai Khas kepada Nurul Izzah, Fahmi Fadzil, sebagai calon di kerusi Parlimen itu.

Baru-baru ini, kebanyakan penduduk Lembah Pantai hilang kepercayaan terhadap Nurul Izzah kerana tidak mampu menggalas tugas sebagai wakil rakyat di kawasan yang diberi mandat dalam tempoh dua penggal ini.

Selain itu, Nurul Izzah juga didakwa menggunakan taktik 'tumpang program' bagi memperlihatkan dirinya turun kawasan untuk berjumpa rakyat.

Ketua Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Abdl Hamir Othman, 65, berkata sepanjang tempoh 10 tahun Nurul Izzah menjadi pemimpin di kawasan itu, tiada sebarang program dilakukan untuk rakyat.

Sebaliknya, beliau berkata, Nurul Izzah hanya dilihat turun padang menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) untuk berkempen saja.

"Sepanjang tinggal di kawasan ini, saya tidak pernah melihat Nurul Izzah berkhidmat untuk rakyat, sedangkan dia adalah wakil rakyat yang perlu membuat program secara menyeluruh untuk mendekati penduduk.

"Taktik beliau yang saya lihat adalah ambil kesempatan pada program orang lain, beliau hadir dan mengambil gambar kemudian berlakon seolah-olah itu adalah program anjurannya.

"Tidak dinafikan waktu terakhir menjelang PRU-14 ini memberi kelebihan kepada mana-mana pihak untuk memenangi hati rakyat, namun majoriti Melayu di kawasan ini menyokong Barisan Nasional (BN)," katanya.

Penduduk Kerinchi, Roslina Ramli berkata, walaupun pihak pembangkang bijak merancang strategi pada saat akhir, namun kali ini calon menggantikan Nurul Izzah tidak dikenali penduduk.

Bagi Maznah Yunus, 60, yang juga penduduk Pantai Dalam, beliau menyifatkan Nurul Izzah sebenarnya kecewa dengan sokongan lemah terhadapnya di kawasan itu yang menyebabkan beliau berpindah kawasan pada PRU-14.

Berita Harian X