Selasa, 1 Mei 2018 | 4:41pm
CALON BN Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias bersama rakan Calon DUN Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali (dua kiri hadapan), Calon DUN Pertang,  Noor Azmi Yusof (tiga kiri) dan Calon DUN Chennah, Seet Tee Gee (empat kanan) pada majlis Ramah Mesra bersama jentera IT Puteri Umno Jelebu di Kompleks UMNO bahagian Jelebu, hari ini. - Foto Adzlan Sidek
CALON Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias melihat semakan jentera IT Puteri pada majlis Ramah Mesra bersama jentera IT Puteri Umno Jelebu di Kompleks UMNO bahagian Jelebu. Adzlan Sidek dan Hasriyasyah Sabudin

140 Puteri UMNO kendali IT BN Jelebu

JELEBU: Barisan Nasional (BN) Jelebu menggunakan khidmat 140 Puteri UMNO bagi mengendalikan penggunaan teknologi maklumat (IT) untuk menangkis tohmahan pembangkang .

Pengerusinya, Datuk Jalaluddin Alias, berkata jentera itu akan berfungsi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang, Pertang, Chennah dan Sungai Lui.

"Jentera ini membabitkan 140 Puteri UMNO berusia antara 18 hingga 35 tahun.

"Mereka adalah graduan universiti, lepasan institut pengajian tinggi dan pakar mengendalikan teknologi maklumat," katanya pada pertemuan calon BN Parlimen Jelebu bersama Pergerakan Puteri UMNO di Kompleks UMNO Jelebu, Simpang Pertang, di sini, hari ini.

Jalaluddin berkata, selain berperanan meyakinkan pengundi dan menyelaras pusat pembuangan undi, mereka juga ditugaskan menangkis fitnah pembangkang di media sosial.

Dalam pada itu beliau yakin BN dapat mempertahankan kemenangan di Parlimen Jelebu dengan undi majoriti lebih 11,000.

"Kita (BN) mensasar peningkatan 8,000 undi di DUN Sungai Lui dan 1,500 undi di Klawang.

"Bagi DUN Pertang, BN meletakkan sasaran menang 3,500 majoriti dan merampas semula DUN Chennah dengan 1,500 undi majoriti," katanya.

Berita Harian X