Khamis, 3 Mei 2018 | 2:03pm
CALON Barisan Nasional (BN), Datuk Joniston Bangkuai bersalaman dengan orang ramai semasa hadir pada Majlis Perasmian Pertandingan Kedai dan Kampung Tercantik Peringkat Daerah Kiulu, di Pekan Kiulu. - Foto Lano Lan

Pilih calon laksana projek atau baru nak berjanji

TUARAN: "Pilih sama ada mahukan calon yang sudah mula melaksanakan projek atau baru mengemukakan janji?".

Itu persoalan dilontarkan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai ketika calon pembangkang sibuk menabur janji menjelang hari mengundi, pada 9 Mei ini.

Joniston yakin pengundi sedar banyak yang sudah dilaksanakan beliau di DUN Kiulu yang disandangnya sejak lima tahun lalu.

"Saya pernah jadi wartawan dan tahu isu ini (calon lawan dapat perhatian kerana bekas ratu cantik) pasti menjadi bualan, namun saya ingin rakyat fokus kepada pencapaian, khususnya pembangunan di Kiulu.

"Selama lima tahun ini, kita ada persefahaman yang baik dengan penyandang Ahli Parlimen (Datuk Seri Madius Tangau) dan banyak visi yang sudah dilaksanakan untuk membangunkan Kiulu dari segi kemudahan dan pelancongan.

"Penduduk turut menerima manfaat dari Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) selain Kiulu dinaik taraf sebagai daerah kecil," katanya ketika melancarkan Pertandingan Kedai dan Kampung Cantik di Walai Kiulu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Persatuan Pelancongan Kiulu (KTA), Dr Edmon Guntis.

Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah berkata, Kiulu yang sudah diiktiraf menjadi daerah kecil pastinya membawa manfaat lebih besar di samping beberapa projek yang masih dalam proses pelaksanaan.

"Selepas selesai pembinaan Jalan Kiulu-Randagong, Ranau, pasti ramai pengunjung sama ada pelancong atau penduduk menggunakan jalan raya itu dan kita mahu mewujudkan pekan kecil untuk meningkatkan ekonomi rakyat.

"Kita sudah berada di landasan betul dan saya harap rakyat memilih sama ada calon yang sudah melaksanakan tanggungjawab atau baru mengemukakan janji," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Joniston berdepan saingan empat penjuru termasuk calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang juga bekas ratu cantik Unduk Ngadau Pesta Kaamatan, Jo Anna Sue Henley Rampas.

Berita Harian X