Khamis, 3 Mei 2018 | 3:57pm
MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Majlis Pecah Tanah Masjid Baharu Gemas dan Penyerahan Surat Hakmilik Felcra Bukit Jelai Gemas, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Mohamad tiada motif sabotaj calon pembangkang

SEREMBAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, dilihat tiada motif untuk terbabit dalam insiden calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau gagal menghantar borang penamaan calon seperti yang dicanang pakatan pembangkang.

Penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah, berkata malah Mohamad tidak perlu mensabotaj pihak lawan kerana berpotensi besar memenangi kerusi disandangnya itu.

"Mohamad dianggap Menteri Besar yang cemerlang dan disukai ramai rakyat Negeri Sembilan, malah pembangkang sebelum ini turut memuji pentadbiran beliau. Rekodnya mempertahankan DUN Rantau juga cemerlang sejak Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11) hingga PRU-13.

"Jika dikaji semula, pembangkang sebenarnya mendapat lebih banyak manfaat kerana saya difahamkan insiden itu dijadikan bahan utama untuk menyerang Mohamad dan BN dalam kempen serta ceramah di seluruh negeri.

"Serangan terhadap Mohamad dan BN bermula sejurus insiden itu berlaku apabila Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, mengecam beliau serta Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Ketua Pemuda UMNO) dan memainkan sentimen perkauman dengan mengajak masyarakat India menolak mereka," katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Mohamad diumumkan menang tanpa bertanding kerusi DUN Rantau apabila calon PKR, Dr S Streram, gagal menghantar borang penamaan calon.

Rafizi kemudian menuduh Khairy Jamaluddin yang juga calon BN Parlimen Rembau, bersekongkol dengan Mohamad atas tindakan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghalang Dr Streram memasuki pusat penamaan calon kerana tiada pas calon.

Media sebelum ini melaporkan Rafizi dalam satu ceramah di Sikamat di sini, mengaku meminta Dr Streram merempuh masuk ke pusat penamaan calon itu walaupun dihalang oleh petugas SPR dan polis yang mengawal kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Siti Faidul Maisarah tidak menolak kemungkinan insiden berkenaan dirancang bagi membolehkan pembangkang memainkan perkara itu dalam kempen dan ceramah mereka kerana tiada isu tempatan lain untuk dijadikan modal.

"Negeri Sembilan mencatat banyak kejayaan dalam bidang ekonomi, pendidikan dan pentadbiran selama ini, justeru pembangkang mungkin tiada isu lain yang boleh dijadikan bahan kempen untuk mempengaruhi pengundi," katanya.

Berita Harian X