Khamis, 3 Mei 2018 | 11:57pm
TUN Dr Mahathir Mohamad. - Foto NSTP
TUN Dr Mahathir Mohamad. - Foto NSTP

Kronisme ciptaan Dr Mahathir lebih teruk

KUALA LUMPUR: Amalan kronisme yang dipraktikkan ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad jauh lebih teruk daripada gejala rasuah dan dijangka kembali berleluasa jika beliau menjadi Perdana Menteri semula.

Malah bekas Perdana Menteri itu dianggap sanggup berbuat apa sahaja termasuk mempertaruhkan masa depan rakyat dan negara asalkan cita-cita politiknya tercapai.

Dalam tulisan Sebastian Loh yang disiarkan portal Free Malaysia Today (FMT), Dr Mahathir dianggap tidak akan berundur dari amalan kronisme yang dicipta.

Malah, katanya, konsep 'Mahathirisme' membuktikan akan sentiasa ada kroni yang bersembunyi dan menunggu peluang untuk melesapkan wang rakyat.

Penulis terbabit memberikan analogi terhadap isu berkenaan.

"Katakan anda seorang berusia 25 tahun dan mula bekerja pada tahun 1998. Anda perlu membeli sebuah kereta kerana Mahathir sangat obses dengan Proton dan tidak mempedulikan pengangkutan awam.

"Anda tidak mampu membeli kereta import kerana Mahathir mengenakan tarif yang membuatkan ia mahal, anda terpaksa membayar dua, tiga, empat kali ganda daripada harga pasaran. Anda membuat pinjaman dan mahu tidak mahu membeli kereta Proton - kualiti rendah, lebih rendah daripada standard yang ditetapkan dan mahal kerana persaingan yang kecil (ketika itu).

"Proton, hasil ilham Mahathir, akan mengambil wang anda yang sebahagiannya untuk kroni pembekal yang menjual alat automotif kepada syarikat itu lebih mahal daripada harga pasaran. Itu hanya permulaan," tulisnya.

Beliau berkata memiliki kereta adalah selesa, tetapi perlu selalu pula membayar tol.

Katanya, Mahathir menandatangani perjanjian tol yang aneh dan berat sebelah memihak kepada kroni operator lebuh raya.

Banyak lebuh raya, katanya, termasuk Lebuhraya Utara Selatan, menjadualkan kenaikan kadar tol 10 peratus setiap tiga tahun.

"Tidak banyak yang kerajaan boleh lakukan (untuk mengelakkannya), jika kerajaan tidak mahu menaikkannya, ia perlu membayar pampasan yang amat besar kepada syarikat lebuh raya.

"Ternyata, perjanjian yang dilakukan oleh 'bapa tol' yang berusia 93 tahun itu tidak memeranjatkan rakyat Malaysia," katanya.

Sebastian menambah, sekiranya rakyat sudah bosan memandu dan ingin beralih menggunakan pengangkutan awam pula seperti bas dan Transit Aliran Ringan (LRT), pihak kroni juga pernah memiliki syarikat pengangkutan seperti Intrakota pada tahun 1998 dan LRT sebelum bertukar hak milik.

"Sekali lagi, taktik Dr Mahathir membuktikan keuntungan akan masuk ke dalam kantung kroni dan walaupun syarikat terbabit bungkus (tutup), beliau akan tampil menjadi penyelamat menggunakan wang pembayar cukai bagi menampung kerugian."

"Baru-baru ini, beliau berjanji untuk mengkaji semula perkhidmatan 'e-hailing' yang sudah diluluskan Datuk Seri Najib Razak sekiranya pembangkang mentadbir jika menang Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14)

Beliau menggunakan perkhidmatan Grab setiap hari dan berpuas hati dengannya.

"Mengapa pengguna biasa perlu terus menggunakan perkhidmatan teksi yang dikendalikan kroni yang tidak pun mampu bersaing dari segi kos, keselesaan dan keberkesanan?

"Tidakkah kita terfikir bahawa siapakah yang akan menerima faedah sekiranya kajian terbabit dilaksanakan kalau bukan kroni syarikat teksi?," soalnya.

Katanya, langkah kerajaan dalam mengawal kronisme memberikan impak yang lebih baik berbanding zaman pentadbiran Dr Mahathir ketika beliau menjadi Perdana Menteri sepanjang 22 tahun.

"Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja membenarkan lebih banyak kereta asing masuk ke negara ini pada harga lebih murah, malah tiada kenaikan tol drastik Lebuh Raya Utara Selatan, Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Kedua (Second Link) sejak Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membeli PLUS pada tahun 2010.

"Ternyata, cubaan kroni untuk menjadikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri menerusi PRU14 adalah semata-mata untuk kepentingan diri sendiri bagi menguasai sektor ekonomi sekali gus mencabul hak rakyat secara tidak langsung.

"Rakyat Malaysia akan terus menyokong pemerintahan kerajaan sekarang kerana biarpun ada cacat cela, sekurang-kurangnya amalan kronisme di negara ini terus dibanteras," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X