Sabtu, 5 Mei 2018 | 10:58am
PANGLIMA 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah melakukan undian awal di Sekolah Kebangsaan Terendak 2, Sungai Udang. - Foot BERNAMA

10,116 anggota tentera, pasangan undi awal di Melaka

MELAKA: Seramai 10,116 pengundi berdaftar terdiri daripada anggota tentera dan pasangan di Kem Terendak, Sungai Udang, di sini, membuang undi awal di tiga pusat membuang undi di dalam kem, pagi ini.

Tinjauan NSTP di Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Terendak 2 di sini, mendapati mereka berbaris seawal jam 7.30 pagi bagi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah, yang pertama membuang undi, tepat jam 8 pagi tadi, diikuti isterinya, Datin Norhanita A Hamid, yang turut membuang undi di pusat sama.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Sel Perhubungan Raya Markas 3 Divisyen, Kementerian Pertahanan, tiga Pusat Pengundian dibuka dalam Kem Terendak iaitu di SK Terendak 1, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Terendak dan SK Terendak 2.

Secara keseluruhannya, selain di Kem Terendak, anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di negeri ini membuang undi turut awal masing-masing di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Kem Sungai Udang; Rejimen 514 (AW) di Bukit Beruang, dan 966 Depot Pengkalan Peluru (DPP) di Kem Masjid Tanah, Alor Gajah.

Berita Harian X