Sabtu, 5 Mei 2018 | 5:21pm
TIMBALAN Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Othman Mahmood (tengah) bersama Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (kiri) beramah mesra dengan anggota tentera yang hadir pada proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 di Sekolah Kebangsaan Kementah, Kem Kementah. - Foto Zulfadhli Zulkifli
TIMBALAN Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Othman Mahmood (tengah) bersama Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (kiri) beramah mesra dengan anggota tentera yang hadir pada proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 di Sekolah Kebangsaan Kementah, Kem Kementah. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Peti undi pengundi awal disimpan di lokap polis

KUALA LUMPUR: Semua peti undi bagi pengundian awal yang dijalankan hari ini sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di seluruh negara akan disimpan di lokap balai polis yang sudah dikenal pasti sebagai langkah keselamatan.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood, berkata peti undi berkenaan hanya akan dikeluarkan dan dibawa ke pusat pengundian pada Rabu ini iaitu pada hari pengundian dijalankan.

Katanya, penyimpanan peti undi di lokap balai polis itu adalah prosedur standard SPR bagi mengelak perbuatan khianat, sekali gus menjamin ketelusan pengundian.

"Semua peti undi membabitkan proses pengundian awal ini nanti hanya akan dibawa keluar dari lokap polis apabila tiba hari pengundian Rabu ini bagi proses pengiraan.

"Ia disimpan di lokap polis kerana satu-satunya tempat paling selamat untuk mengelak perbuatan khianat terhadap semua kertas undi yang kita terima hari ini," katanya yang hadir meninjau proses pengundian awal di perkarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Kementah, Kem Kementah, di sini, hari ini.

Othman berkata, proses penyimpanan peti undi di lokap polis yang sudah dikenal pasti ini adalah prosedur standard SPR sejak dulu lagi.

Katanya, kebanyakan yang terbabit dalam proses pengundian awal adalah dalam kalangan anggota dan pegawai pihak berkuasa serta pasukan keselamatan seperti polis, tentera, bomba dan agensi keselamatan lain yang bertugas ketika hari pengundian dijalankan Rabu ini.

"Selain itu, mereka yang layak menjalankan proses pengundian awal ini juga adalah pasangan kepada anggota dan pegawai agensi serta pasukan keselamatan yang tidak dapat mengundi pada hari mengundi Rabu ini.

"Mereka ini dikenal pasti dan disahkan layak menjadi pengundi awal berdasarkan status pasangan masing-masing yang bertugas pada hari mengundi nanti," katanya.

Berita Harian X