Sabtu, 5 Mei 2018 | 8:46pm
NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. - Foto Adi Safri
NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hadir Program Ramah Mesra Bersama Warga Felda Chemplak Barat di Dewan Serbaguna Felda Chemplak Barat, Labis, hari ini. - Foto Adi Safri

'Kalau tidak, saya sendiri pecat mereka'

LABIS: Tindakan menggugurkan keahlian adalah tindakan paling wajar diambil ke atas dua bekas menteri yang juga veteran UMNO, selepas didapati berkongsi pentas dengan pembangkang dan memaki parti sendiri.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tiada parti akan membiarkan ahlinya berdiri di pentas pembangkang dan menghamun parti sendiri.

"Wajar pun. Jika tiada tindakan diambil (memecat mereka), saya sendiri akan memecat mereka dan ini dilaksanakan oleh mana-mana parti.

"Tindakan dan hujah mereka itu memang jelas tak bersama-sama dengan kita. Saya tak rasa ralat, tak sesal kerana tindakan itu wajar diambil terhadap mereka.

"Kalau kita tak ambil tindakan terhadap mereka, ia boleh menjejaskan ahli dari segi moral, semangat dan kesungguhan bermati-matian nak memenangkan calon kita.

"Dia sewenang-wenangnya nak serang kita, kita nak biarkan saja? Tak mungkin. Mana-mana parti pun jangan hipokritlah. Parti lain nak menuding jari kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO untuk ambil tindakan itu? Mereka pun sebelum ini ambil tindakan terhadap ahlinya sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Ramah Mesra Bersama Warga FELDA Chempelak Barat, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga calon BN Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong; calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Mohd Azahar Ibrahim dan calon BN DUN Bekok, Tan Chong.

Dua bekas menteri iaitu Tan Sri Rafidah Aziz dan Tun Daim Zainuddin digugur keahlian daripada UMNO berkuat kuasa hari ini, susulan sokongan masing-masing terhadap pembangkang dan mengeluarkan kenyataan menghentam parti.

Ditanya sama ada tindakan itu akan menjejaskan BN, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, ia terserah kepada rakyat yang akan menilainya kelak.

"Mereka ini sudah lama dalam parti kita. Sudah lama kita pertahankan ketika mereka dalam parti kita (dulu).

"Hujung-hujung ini (hampir Pilihan Raya Umum Ke-14) nak menidakkan parti dan perjuangan kita. Kita nak biarkan? Tak mungkin saya sebagai Naib Presiden UMNO, tindakan itu tepat dan inilah masanya untuk mengambil tindakan," katanya.

Mengenai pembangkang yang sering menggunakan isu lama menyerang BN, Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas berkata, pembangkang sentiasa 'mengalihkan tiang gol' setiap kali BN menyelesaikan isu ditimbulkan.

Beliau berkata, BN terus komited bekerja dan yang bakal menentukan kemenangan kelak adalah bagaimana jentera meyakinkan rakyat dalam memilih perjuangan sebenar demi rakyat.

"Kita berjuang tak kira kaum, agama, latar belakang, tak kira prejudis atau pertimbangan peribadi mana-mana pihak," katanya.

Berita Harian X