Ahad, 6 Mei 2018 | 9:11pm
PEMANGKU Ketua Pemuda GERAKAN negeri, Loo Jieh Sheng. - Foto Zulaikha Zainuzman

Kerajaan DAP perlu perjelas status tanah di Jalan Peel

GEORGETOWN: Kerajaan negeri digesa memperjelas pendiriannya memberi kelulusan kepada kepada pemaju yang dilantik bagi projek pelebaran hospital swasta di Jalan Avenue, dekat sini.

Pemangku Ketua Pemuda GERAKAN negeri, Loo Jieh Sheng, berkata ia susulan kerajaan negeri direkodkan pernah menolak permohonan projek pembinaan bangunan berstrata 10 tingkat di kawasan berhampiran tapak terbabit, pada 2013.

Selain itu, katanya, permohonan pemaju terbabit dikatakan ditolak kerajaan negeri selepas pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menegaskan kawasan berkenaan diwartakan sebagai lokasi pembinaan berkepadatan rendah.

"MBPP dalam suratnya turut menjelaskan sebarang usaha memajukan sesebuah projek di kawasan berkenaan perlu mematuhi syarat ditetapkan, iaitu 10 unit per ekar.

"Bagaimanapun, ia jelas bertentangan dengan projek pelebaran hospital swasta yang membabitkan 33 tingkat hotel dan 30 suite perubatan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri didakwa terburu-buru meluluskan permohonan pemaju swasta untuk merobohkan beberapa bangunan warisan yang terletak di Jalan Peel di sini, bagi memberi laluan kepada projek mega Medical City.

Bangunan warisan itu diklasifikasikan dalam Kategori 2 oleh MBPP, iaitu mempunyai kepentingan nilai sejarah dan seni binanya memerlukan segala usaha untuk dikekalkan.

Malah, kerajaan negeri pimpinan DAP pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang mendedahkan terdapat peruntukan khas memperincikan hanya Island Hospital dibenarkan untuk sebarang projek menaik taraf hospital swasta di seluruh negeri ini, pada November lalu.

Pada September 2013, MBPP dilapor mengeluarkan surat menjelaskan permohonan pihak pemaju swasta untuk membangunkan perumahan berstrata 10 tingkat di Jalan Peel di sini, ditolak.

Berita Harian X