Selasa, 8 Mei 2018 | 3:15pm
CALON BN bagi Parlimen Baram, Anyi Ngau (tengah) meluangkan masa berjumpa dengan penduduk di Bario. - Foto Kandau Sidi

Aspirasi Tok Nan perkukuh semangat BN Sarawak

MARUDI: Semangat Tok Nan atau Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang masih menebal dalam kalangan penduduk setempat di Parlimen Baram berupaya memperkukuhkan kedudukan Barisan Nasional (BN) di kawasan itu.

Malah, ia diyakini membawa tuah kepada penyandang kerusi berkenaan, Anyi Ngau, untuk terus menguasai kawasan berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Gerawat Gala, berkata sokongan penduduk setempat, terutama di kawasan tanah tinggi Bario cukup kuat terhadap kepemimpinan Tok Nan yang kini diteruskan penggantinya, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

"BN masih dalam `Tim Adenan' di Sarawak, cuma kaptennya sahaja bertukar kepada Datuk Patinggi Abang Johari (Abang Openg). Justeru, kita yakin sokongan penduduk setempat tetap utuh terhadap BN atas pengaruh semangat Tok Nan.

"Jika dalam pilihan raya sebelum ini, penduduk Bario yang dulunya di bawah Parlimen Lawas sebelum persempadanan semula kawasan pilihan raya dilakukan, memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada BN, begitu juga dalam pilihan raya kali ini," katanya.

Dalam pilihan raya umum sebelum ini, Bario antara kawasan dikenalpasti menjadi kubu kuat BN, malah Tok Nan sering berkunjung ke kawasan itu ketika sepanjang perkhidmatannya walaupun ia terletak di pedalaman.

Sementara itu, Anyi mengharapkan penduduk Baram dapat memberi peluang baginya untuk meneruskan perkhidmatan menaik taraf kehidupan penduduk di situ.

Beliau berkata, banyak pembangunan yang belum dapat dilaksanakan untuk penduduk di kawasan Baram, sepanjang tempoh perkhidmatannya lima tahun lalu.

Berita Harian X