Rabu, 9 Mei 2018 | 10:15am
TAN Sri Dr Zulhasnan Rafique mengundi di Sekolah Kebangsaan Setiawangsa, pagi tadi. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Zulhasnan mengundi di SK Setiawangsa

KUALA LUMPUR: Tan Sri Dr Zulhasnan Rafique, menjadi calon tunggal Parlimen Setiawangsa yang mengundi di dalam kawasan itu, hari ini.

Zulhasnan yang juga calon Barisan Nasional (BN), selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Setiawangsa di sini, hari ini, kira-kira jam 9.35 pagi tadi.

Beliau tiba ke pusat mengundi itu bersama isteri, Puan Sri Siti Nooriah Anna Razak serta empat lagi ahli keluarga lain, sekitar jam 8.30 pagi, bagi melaksanakan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Terdahulu, Zulhasnan beratur selama lebih sejam bersama-sama pengundi di Parlimen Setiawangsa sebelum selesai mengundi, dan bergerak melawat 16 pusat pengundian lain di Parlimen terbabit.

Kerusi Parlimen Setiawangsa yang memiliki 72,136 pengundi, menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Zulhasnan yang dicabar Ketua Angkatan Muda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ubaid Abdul Akla.

Zulhasnan yang juga Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), adalah satu-satunya calon Parlimen Setiawangsa yang mengundi di kawasan itu, manakala Nik Nazmi di Kelana Jaya, Selangor dan Ubaid di Bayan Baru, Pulau Pinang.

Pada PRU-13, BN menang di kerusi Parlimen Setiawangsa menerusi calonnya, Datuk Ahmad Fauzi Zahari yang menewaskan calon PKR, Ibrahim Yaacob dengan majoriti 1,390 undi.

Bagi PRU-14, BN mencalonkan semula Zulhasnan untuk bertanding di kerusi terbabit selepas pernah menjadi Ahli Parlimen Setiawangsa pada 2004 dan 2008, selain Ahli Parlimen Wangsa Maju pada 1999.

Berita Harian X