Rabu, 9 Mei 2018 | 3:06pm

Kesesakan kerana pengundi keluar serentak - SPR

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan isu pengundi terpaksa beratur panjang di pusat pengundian Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), berikutan mereka keluar serentak dalam satu masa.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata situasi itu juga dipercayai berlaku kerana pengundi terpengaruh dengan mesej viral sebelum ini yang menggesa mereka keluar awal supaya tidak ada orang lain mengundi menggunakan nama mereka.

Beliau berkata, SPR sebelum ini sudah memaklumkan supaya pengundi merancang dan keluar mengundi secara berperingkat supaya tidak berlaku kesesakan dan terpaksa beratur panjang.

"Difahamkan, ada kes pengundi meninggal dunia, namun ia kejadian di luar jangka dan SPR sudah mengambil tindakan sewajarnya. Bagi pihak SPR, saya merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa serta meminta SPR negeri untuk mengambil langkah sewajarnya," katanya pada sidang media di sini.

Menurutnya, SPR juga tidak akan melanjutkan waktu mengundi dan pusat mengundi akan tetap ditutup pada jam 5 petang.

Beliau turut menjelaskan SPR sudah membuat semakan berkaitan isu viral kertas undi tidak dicap yang didakwa berlaku di sebuah pusat mengundi dan hasil semakan ia tidak berlaku seperti yang disebarkan.

"Namun, SPR menjelaskan bahawa jika berlaku kesilapan itu, ia adalah kes terpencil dan pengundi diminta tidak bimbang kerana sekiranya Ketua Tempat Mengundi berpuas hati bahawa kertas undi dikeluarkan secara sah dan ia hanya kesilapan petugas dalam salurannya, maka Ketua Tempat Pengundi berkenaan tidak boleh menolak mana-mana kertas undi dalam keadaan ia telah dikeluarkan secara sah.

"Pengundi diminta tidak terpedaya dengan mesej viral kononnya SPR melakukan penipuan dengan cara demikian kerana proses ini turut disaksikan oleh semua pihak berkepentingan termasuk ejen calon.

"SPR percaya mesej viral itu cuba menimbulkan situasi panik dan curiga dalam kalangan pengundi terhadap SPR," katanya.

Mengenai isu undi pos tidak sampai, Mohd Hashim berkata, SPR sudah menerima aduan mengenai perkara itu dan akan menyiasat masalah atau punca berlaku kelewatan penghantaran yang menyebabkan pengundi tidak menerima kertas undi mereka atau lewat diterima.

Mengenai mesej viral seorang remaja ditahan kerana didakwa membawa kertas undi palsu di sebuah pusat mengundi di Port Dickson, Negeri Sembilan, beliau berkata, pihak yang menahan remaja itu sepatutnya membuat laporan polis, bukan menyebarkannya dalam media sosial.

PENGERUSI SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah pada sidang media di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X