X
Rabu, 9 Mei 2018 | 6:03pm
BEKAS Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff bersama isterinya Puan Seri Siti Julaina Johan mengundi Di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7 Shah Alam. - Foto Ayuliza Azizan
BEKAS Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff bersama isterinya Puan Seri Siti Julaina Johan mengundi Di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7 Shah Alam. - Foto Ayuliza Azizan

SPR akan kaji isu undi pos lambat

SHAH ALAM: Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff, yakin suruhanjaya itu akan mengkaji dakwaan pengundi pos dari luar negara yang tidak menerima kertas undi pos.

Beliau berkata, masalah berkemungkinan timbul ekoran sistem pejabat pos dan penghantaran di negara tertentu yang berbeza, menyebabkan ada pemilih yang tidak menerima kertas undi pos masing-masing.

Katanya, proses undian pos mempunyai tempoh 11 hari pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas penamaan calon pada 28 April lalu.

"Selepas mengetahui calon yang layak bertanding, maka bermulalah proses susunan kedudukan calon pada kertas undi.

"Selepas dicetak dan disemak, kertas undi untuk pengundi luar negara dihantar dahulu kerana ia adalah keutamaan dan ia dihantar secara individu berbanding kepada pihak kedutaan seperti sebelum ini.

"Masalah mungkin timbul pada sistem pejabat pos di negara tertentu yang mungkin berbeza. Ada pengundi yang terima dan ada yang belum...saya pasti SPR akan menyiasat perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7, di sini, hari ini, bersama-sama isteri, Puan Seri Siti Juliana Johan.

Pada masa sama, Abdul Aziz berkata, apa yang berlaku memberi kesan kepada hak demokrasi pemilih, namun berikutan bilangan pengundi pos yang tidak ramai, ia tidak akan mempengaruhi keputusan pilihan raya.

Katanya, masalah itu juga di luar keupayaan SPR yang perlu dikaji.

Sementara itu, Abdul Aziz turut berpendapat bahawa 99 peratus rakyat Malaysia masih mempercayai SPR walaupun ada segelintir yang gemar menimbulkan isu supaya orang ramai tidak menyukai SPR.

Katanya, apabila timbul persepsi sedemikian, ia akan menyebabkan keseluruhan sistem yang dibawa suruhanjaya itu turut dibenci.

"Apa yang dibawa oleh SPR adalah untuk berlaku adil dan saksama, tetapi ada lah silap sana-sini. Ketika saya Pengerusi SPR, pertama kali saya terapkan kepada pegawai mesti jujur, jangan memihak kepada mana-mana parti dan ikut perlembagaan.

"Itu yang sering kita tanamkan kepada pegawai SPR untuk ikut peraturan jangan menyebelahi sebelah pihak, berikan kemudahan kepada semua pihak," katanya.

Berita Harian X