Khamis, 10 Mei 2018 | 12:18am
PEGAWAI Pengurus SPR P119 Titiwangsa,Asiah Husin (dua dari kanan) mengumumkan kemenangan calon PKR P119 Titiwangsa,Rina Mohd Harun yang diwakilkan oleh Sa'diah Ismail (empat dari kanan).Turut meraikan kemenangan tersebut ialah ibu calon,Taiyibah Rusly (tiga dari kiri) pada pengumuman keputusan rasmi jumlah pengundian bagi P119 Titiwangsa sempena PRU ke-14 di SMK Aminuddin Baki. - Foto Amirudin Sahib

Rina Harun menang kerusi Parlimen Titiwangsa

KUALA LUMPUR: Calon PKR, Rina Harun memenangi kerusi Parlimen P119 Titiwangsa mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan calon PAS Mohamad Noor Mohamad.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Titiwangsa Asiah Hussin pada jam 11.20 malam tadi.

Rina memperoleh 23,840 undi dan memenangi kerusi itu dengan majoriti 4139 undi, manakala Johari yang juga penyandang kerusi itu mendapat 19,701 undi dan Mohamad dengan 6845 undi.

Seramai 50,858 pengundi keluar mengundi iaitu sebanyak 82.6 peratus manakala 323 undi rosak.

Rina diwakili ibunya Taibah Rosli dan penyokong yang berada di Pusat Penjumlahan Undi Rasmi di Dewan Bestari Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di sini, ketika keputusan diumumkan.

Taibah berkata, Rina yang juga Ketua Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang mengundi beliau.

Berita Harian X