Khamis, 10 Mei 2018 | 2:39am
MOHAMAD Sabu menang dengan majoriti 90,697 undi menewaskan calon PAS, Mohamed Diah Baharun (19,555 undi) dan calon Barisan Nasional (BN), V Gunalan, 17,874 undi. - Foto Faris Zainuldin

Pakatan pembangkang kukuh di Kota Raja

SHAH ALAM: Pakatan Pembangkang memenangi kesemua kerusi Parlimen dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Raja, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengumuman dilakukan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Kota Raja, Shukri Mohamad Hamin di Dewan Kemuning Utama, Seksyen 32, Kota Kemuning, di sini, jam 1.40 tengah malam tadi.

Calon Parlimen Kota Raja yang juga Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu menang dengan majoriti 90,697 undi menewaskan calon PAS, Mohamed Diah Baharun (19,555 undi) dan calon Barisan Nasional (BN), V Gunalan, 17,874 undi.

DUN Sentosa dimenangi oleh Gunarajah George dengan 38,106 undi mengalahkan empat calon lain iaitu Datuk R Subramaniam (BN) 4,507 undi; M Rajan (PAS) 1,722 undi; M Telai Amblam (PRM) 79 undi dan P Sundarajoo (Bebas), 95 undi.

Sementara itu, calon PKR Mat Shuhaimi Shafiei mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis dengan 23,998 undi mengalahkan calon BN iaitu Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518 undi); Mohd Yusof Abdullah (PAS), 7,573 undi dan calon PRM, Hanafiah Husin, hanya 76 undi.

Penyandang DUN Sentosa pada PRU-13, V Ganabathirau (PKR) menang di kerusi DUN Kota Kemuning dengan 28,617 undi mengalahkan calon BN, Tiew Hock Huat (4,601); Burhan Adnan (PAS), 6,978; Abdul Razak Ismail (PSM), 226 undi dan calon Bebas, S Rajasekaran, 93 undi.

Calon yang menang iaitu Mat Shuhaimi, Gunarajah dan Ganabathirau turut hadir ketika keputusan PRU-14 diumumkan. Seramai 149,021 pengundi berdaftar di Parlimen Kota Raja pada pilihan raya kali ini.

Berita Harian X