Khamis, 10 Mei 2018 | 1:15pm

Perbincangan Shafie, pemimpin UPKO cetus spekulasi

KOTA KINABALU: Kehadiran Pemangku Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau menemui Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menimbulkan spekulasi parti komponen Barisan Nasional (BN) itu akan memihak kepada WARISAN.

Madius yang juga bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bersama Setiausaha Agung UPKO, Datuk Donald Mojuntin mengadakan pertemuan itu di rumah Mohd Shafie di Bukit Padang di sini, yang berlangsung selama kira-kira 30 minit.

Turut menyertai perbincangan itu ialah Timbalan Presiden WARISAN, Darell Leiking. Selesai perbincangan itu, penyokong WARISAN yang berada di rumah Mohd Shafie melaungkan 'Sabah Ubah' kepada Madius dan Donald.

Ketika ditemui media, kedua-dua pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) itu sekadar menjawab 'tiada komen', namun Madius didengar berkata: "Kami akan kembali."

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semalam, UPKO menang lima kerusi DUN iaitu di Paginatan (Datuk Abidin Madingkir), Kadamaian (Ewon Benedick), Nabawan (Datuk Bobbey Ah Fang Suan), Kuala Penyu (Datuk Limus Jury) dan Kuamut (Datuk Masiung Banah).

Pembentukan kerajaan baharu Sabah genting apabila parti komponen BN dan pakatan WARISAN bersama DAP dan PKR masing-masing terikat 29 kerusi.

Baki dua daripada 60 kerusi DUN lagi dimenangi Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) diketuai Datuk Dr Jeffrey Kitingan, namun setakat ini parti itu belum menyatakan pendirian untuk menyokong mana-mana pihak sekali gus membolehkan kerajaan negeri dibentuk.

DATUK Seri Mohd Shafie Apdal (tengah) menerima kunjungan daripada Pemangku Presiden Parti Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (kiri) dan Setiausaha Agung UPKO, Datuk Donald Peter Mojuntin di kediamannya, Bukit Padang. - Foto Khairull Azry Bidin
Berita Harian X