Khamis, 10 Mei 2018 | 5:16pm
PETUGAS SPR menghantar peti undi ke tempat pusat pengundian dengan menaiki bot laju di Sibu. - Foto Mohd Roji Kawi

PRU-14 perlihat politik matang masyarakat pedalaman, luar bandar

KUCHING: Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) memperlihatkan tsunami politik mula 'menjengah' kawasan pedalaman dan luar bandar negeri ini apabila masyarakat Dayak bukan lagi 'deposit tetap' untuk Barisan Nasional (BN).

Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, berkata keputusan itu turut melihat masyarakat pedalaman dan luar bandar semakin matang dalam berpolitik, selain memperlihatkan pemahaman jelas mengenai situasi semasa di negara ini.

"Mereka mampu memahami dan menghargai pembangunan politik dan menunjukkan semangat yang luar biasa untuk perubahan, menjadi sebahagian daripada kebangkitan yang berlaku di seluruh negara, dan untuk membuat perubahan terhadap lanskap politik Malaysia," katanya.

Katanya, walaupun pada sesetengah pihak, terutamanya BN, melihat tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) tidak lagi menjadi isu relevan, ia membuktikan sebaliknya apabila perkara itu mendapat perhatian.

"Mereka tidak lagi percaya bahawa kerajaan BN akan melindungi pemilikan tanah mereka," katanya yang memenangi kerusi Parlimen Selangau dalam PRU-14.

Baru ketika mengulas lanjut, berkata infrastruktur dan kemudahan asas di Selangau memerlukan banyak penambahbaikan.

"Mereka jauh ketinggalan dari segi pembangunan dan hilang harapan kepada kerajaan BN untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Oleh itu, saya komited untuk membawa perubahan kepada mereka," katanya.

Selain itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada pengundi atas kepercayaan mereka dan berjanji akan membawa perubahan di Selangau seperti yang ditetapkan dalam manifesto Pakatan Harapan.

Baru memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis 486 undi, mengenepikan calon BN dari Parti Rakyat Sarawak (PRS), Rita Patrick Insol, dalam pertandingan satu lawan satu.

PKR Sarawak juga berjaya menambah kemenangan dari satu kerusi parlimen kepada empat, termasuk Miri, Puncak Borneo dan Saratok.

Berita Harian X