Jumaat, 11 Mei 2018 | 6:30pm
PRESIDENDPMM, Rizal Faris Mohideen Abdul Kader (tengah) dalam sidang media. - Foto Nik Hariff Hassan

Kaji semula badan, agensi bangun ekonomi Melayu

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) meminta kerajaan mengkaji semula badan dan agensi pembangunan ekonomi Melayu yang ditubuhkan sebelum ini.

Presiden DPMM, Rizal Faris Mohideen Abdul Kader, berkata ada beberapa badan dan agensi terbabit yang memiliki fungsi bertindih menyebabkan berlaku pembaziran, selain gagal mencapai objektif membantu usahawan Melayu dan Bumiputera.

"DPMM kerap mengetengahkan beberapa masalah kepada kerajaan sebelum ini, antaranya peranan bertindih dan pembaziran, sistem yang dijalankan oleh 'warlord', tiada hubungan dengan badan bukan kerajaan (NGO) serta program yang disalah guna dan 'separuh masak'.

"Dalam tempoh 15 tahun, pelbagai seminar dan konvensyen dilaksanakan dan hasilnya diserahkan kepada kerajaan tetapi tidak diambil kira, sebaliknya mereka buat keputusan 'syok sendiri'.

"Kami harap kerajaan baharu diketuai (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad dapat bekerjasama dengan DPMM dan mengembalikan usaha pembangunan ekonomi Melayu ke landasan yang betul," katanya di sini, hari ini.

Rizal Faris berkata, DPMM akan merancang pertemuan dengan Dr Mahathir bagi merangka pelan induk naratif ekonomi Melayu sebagai hala tuju baharu inisiatif pembangunan ekonomi Melayu di negara ini.

Katanya, PH juga perlu memberi ruang kepada NGO ekonomi Melayu memainkan peranan dalam pembentukan dasar berkaitan, dengan meletakkan wakil mereka dalam agensi dan badan berkaitan yang dikawal selia secara langsung oleh pembuat dasar.

"Ramai tokoh korporat dalam kalangan usahawan Melayu dilahirkan ketika Dr Mahathir jadi Perdana Menteri sebelum ini, dan kami harap era itu kembali, sekali gus dapat meletakkan mereka menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Kami yakin Dr Mahathir akan menyambut baik saranan kami, kerana beliau sendiri pernah menjadi Yang Dipertua DPMM Kedah suatu masa dahulu," katanya.

1987 dibaca
Berita Harian X