Jumaat, 11 Mei 2018 | 9:01pm
PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman. - Foto BERNAMA
PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman. - Foto BERNAMA

WARISAN miliki majoriti, Shafie minta Musa lepaskan jawatan

KOTA KINABALU: Pergolakan politik di Sabah terus meruncing selepas Parti Warisan Sabah (WARISAN) bersama rakan kerjasamanya, PKR dan DAP kini memiliki 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus memiliki majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Kelebihan itu diperoleh kurang 15 jam selepas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri di sini, lewat malam tadi.

Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN bersama 29 wakil rakyat WARISAN, PKR dan DAP menandatangani surat menyokong beliau dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah, tengah hari tadi.

Katanya, surat sokongan itu kemudian dipersembahkan kepada Yang di-Pertua Negeri di Istana Negeri, sekali gus memaklumkan WARISAN bersama dua rakan dari Pakatan Harapan (PH) sudah memiliki majoriti mudah membentuk kerajaan baharu.

Enam ADUN BN yang 'menyeberang' ialah dua dari Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Abidin Madingkir (Paginatan) dan Ewon Benedick (Kadamaian), selain empat dari UMNO iaitu Datuk Hamisa Samat (Tanjung Batu), Abdul Muis Picho (Sebatik), Datuk Osman Jamal (Balung) dan Jamawi Jaafar (Kemabong).

Mohd Shafie turut mendakwa pihaknya mendapat sokongan seorang lagi ADUN BN, namun wakil rakyat terbabit 'ditahan' kumpulan 'sebelah sana'.

"Kita meminta semua pihak supaya menghormati kedudukan kami untuk membentuk kerajaan. Pihak yang berkenaan (Musa) perlu meletakkan jawatan," katanya dalam sidang media di rumahnya di Bukit Padang di sini, lewat petang ini.

Turut hadir dalam sidang media itu, enam ADUN BN terbabit serta Pemangku Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau dan Setiausaha Agung UPKO, Datuk Donald Mojuntin.

Mohd Shafie ketika mengumumkan kemasukan enam ADUN itu berkata, tiada paksaan terhadap mereka untuk bersama WARISAN dan PH bagi membentuk kerajaan negeri.

"Saya yakin tiada paksaan dan saya tidak letak mereka di dalam rumah saya dua, tiga hari seperti berlaku sebelum ini di mana mereka diletakkan dalam keadaan agak membimbangkan keluarga mereka. Saya difahamkan beberapa keluarga mereka (ADUN BN) membuat laporan polis dan ini tiada paksaan.

"Perkara ini dalam pengetahuan Yang di-Pertua Negeri dan saya yakin Tun (Juhar) sendiri telah memanggil individu terbabit (enam ADUN BN) yang saya sebutkan untuk bersetuju menyokong saya selaku Ketua Menteri," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, berkata WARISAN akan memegang amanah, kepercayaan serta harapan rakyat Sabah di peringkat akar umbi

"Kami minta rakyat Malaysia memberi kepercayaan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad memimpin kerajaan di peringkat Persekutuan dan yakin kepada WARISAN untuk membawa perubahan di Sabah," katanya.

Lewat malam tadi, Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri selepas mendapat majoriti mudah 31 kerusi iaitu 29 DUN milik BN dan disertai dua ADUN Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) diketuai Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Ia disusuli angkat sumpah anggota Kabinet negeri termasuk tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Jeffrey, Datuk Seri Masidi Manjun dan Datuk Hajiji Noor.

Berita Harian X