Sabtu, 12 Mei 2018 | 10:53am

Aminuddin Harun angkat sumpah MB Negeri Sembilan

KUALA PILAH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Aminuddin Harun mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah di sini, pagi ini.

Aminuddin, 51, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat menyempurnakan upacara angkat sumpah itu pada jam 10.40 pagi di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Turut menyaksikan istiadat itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama kedua anakanda Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al'Abidin.

Hadir sama Undang Luak Rembau, Datuk Muhammad Sharip Othman; Undang Luak Johol, Datuk Mohammed Abdullah dan Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak.

Aminuddin sebelum itu menghadap Tuanku Muhriz bagi menyerahkan watikah pemilihannya sebagai Menteri Besar pada Khamis lalu.

YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menyampaikan watikah pelantikan Menteri Besar yang baharu kepada Amiruddin Harun pada istiadat mengangkat sumpah pelantikan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang ke-11 di Istana Seri Menanti,Kuala Pilah. - Foto Hazreen Mohamad
MENTERI Besar yang baharu, Amiruddin Harun pada istiadat mengangkat sumpah pelantikan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang ke-11 di Istana Seri Menanti,Kuala Pilah. - Foto Hazreen Mohamad
Berita Harian X