Sabtu, 12 Mei 2018 | 4:24pm
ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang baharu dihadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Balai Menghadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru. - Foto Royal Press Office
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menyampaikan watikah perlantikan kepada Adun Kempas, Datuk Osman Sapian sebagai Menteri Besar Johor yang di Balai Menghadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru. - Foto ROYAL PRESS OFFICE

Osman Sapian MB Johor Ke-16

JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor Ke-16, di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, di Istana Bukit Serene di sini hari ini.

Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Johor itu menerima watikah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam upacara yang berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene.

Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan anakanda Sultan Johor serta suami Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim, Dennis Muhammad Abdullah.

Turut hadir, Pengerusi PKR Johor, Hassan Karim dan Presiden Parti Amanah (AMANAH) Johor, Aminolhuda Hassan.

Menerusi Facebok (FB) rasmi Sultan Johor, baginda bertitah bersedia bekerjasama dengan Menteri Besar dan memberi nasihat dari masa ke semasa.

Baginda turut mengingatkan Osman agar menjalankan tugas yang diamanahkan dengan bersungguh-sungguh dan memastikan Bangsa Johor sentiasa bersatu.

Osman, 67, menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dari Barisan Nasional (BN) sebagai Menteri Besar selepas Pakatan Harapan (PH) merampas Johor dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

PH mendapat mandat membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, manakala BN mendapat 19 kerusi dan PAS dengan satu kerusi.

Osman pernah menyandang jawatan sebagai ADUN Kempas di bawah BN selama tiga penggal sebelum digugurkan daripada bertanding pada tahun 2013.

Berita Harian X