Sabtu, 12 Mei 2018 | 7:58pm
KETUA Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun. - Foto Yahya Zainuddin

2 Ahli Parlimen Bebas Sarawak sertai PKR

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun dan dua Ahli Parlimen Bebas dari Sarawak, iaitu Larry Sng Chee Hua (Julau) dan Jugah Muyang (Lubok Antu), mengumumkan menyertai PKR, berkuat kuasa serta-merta.

Turut menyerahkan borang keahlian PKR ialah tiga ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS), Syvester Entri Muran dan [email protected] Mangge, serta H Khoo.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, berkata beliau gembira kerana Joseph, yang juga bekas Timbalan Presiden PRS dan dua Ahli Parlimen Bebas menyatakan kesudian untuk menyertai PKR.

Zuraida berkata, pihaknya memang mengalu-alukan mana-mana parti lain atau Ahli Parlimen Bebas untuk menyertai PKR, pada masa depan.

"Penyertaan dua wakil rakyat bebas ini, sekali gus menjadikan jumlah Ahli Parlimen PKR di Sarawak kini meningkat kepada enam berbanding hanya empat sebelumnya.

"Kita menjangkakan lebih anggota PRS menyertai PKR dan menyokong Pakatan Harapan (PH) yang kini menjadi Kerajaan Persekutuan," katanya pada sidang media di Pusat Rehabilitasi Cheras, di sini, hari ini.

Sementara itu, Larry menegaskan beliau mengambil keputusan menyertai PKR kerana parti itu adalah sebahagian daripada gabungan PH yang kini membentuk Kerajaan Persekutuan.

Larry berharap, penyertaannya itu membolehkan beliau meneruskan agenda pembangunan di kawasan Parlimen Julau.

"Saya percaya kerajaan baharu PH dapat membantu saya meneruskan usaha murni untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat di Julau nanti," katanya.

Dalam pada itu, Entulu berkata, beliau menyertai PKR kerana kecewa dengan tindakan PRS yang bukan hanya memecat, malah tidak mencalonkannya untuk bertanding pada PRU-14.

"Sebelum dipecat, saya sebenarnya sudah dipilih sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tetapi digugurkan di saat akhir kerana Presiden PRS tidak suka saya bertanding.

"Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk membantu Jugah Muyang berkempen atas tiket bebas di Lubok Antu dan selepas beliau menang, kami sama-sama pilih sertai parti ini kerana perkara seumpama itu tidak pernah berlaku dalam PKR," katanya.

Berita Harian X