Ahad, 13 Mei 2018 | 3:48pm
MUHAMMAD Faisal Abdul Aziz. - Foto Asyraf Hamzah

Tindakan bercanggah prinsip demokrasi - ABIM

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyifatkan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, berhubung tiada peruntukkan untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri berkenaan sebagai bercanggah dengan prinsip dan nilai demokrasi yang diperjuangkan rakyat, khususnya oleh Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata pihaknya menolak kenyataan Menteri Besar yang baru dilantik itu yang menyatakan bahawa peruntukan tidak diberikan kepada ADUN pembangkang di Johor dengan meneruskan amalan kerajaan sebelumnya.

"Bagi mengukuhkan demokrasi, semestinya mana-mana kerajaan mempunyai pembangkang dan ia boleh berlaku sekiranya ADUN pembangkang diberikan hak yang adil dan wajar.

Justeru, ABIM menggesa kerajaan PH khususnya di Negeri Johor untuk berlaku adil kepada mana-mana wakil rakyat yang dipilih secara rasmi oleh rakyat, sama ada dari parti yang membentuk kerajaan mahupun parti pembangkang.

"Diharapkan dengan perubahan landskap politik negara, ia akan memupuk budaya baharu dalam politik yang lebih segar dan baik seterusnya membina semula nilai-nilai demokrasi," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Semalam, pada sidang media selepas dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-16, Osman sebagai berkata, kerajaan Johor tidak akan memberi peruntukan kepada ADUN parti pembangkang.

"Kenapa kita perlu memberi peruntukkan kepada ADUN Barisan Nasional (BN) yang selama selama ini menentang Pakatan Harapan?

"Pemberian peruntukkan itu umpama memberi mereka peluru supaya mereka boleh menembak kita balik," katanya.

Berita Harian X