Ahad, 13 Mei 2018 | 10:10pm
PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjalan keluar bersama Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (kiri) selepas melawat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendapatkan rawatan di Pusat Rehabilitasi Cheras, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Muhyiddin tegur MB Johor

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah meminta Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian memperbetulkan kenyataan bahawa tiada peruntukan diberi kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri berkenaan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor itu berkata, kerajaan PH yang baharu dan prihatin serta memahami masalah rakyat, perlu mengambil kira kepentingan semua pihak tidak kira siapa, ideologi dan latar belakang kaum.

Katanya, rakyat sudah memberi amanah kepada kerajaan PH dan perlu melayan kehendak rakyat secara adil serta saksama termasuk di kawasan pembangkang.

"Ini bermakna, kawasan pembangkang juga harus dibantu, selain rakyat di situ perlu kita tolong dan utamakan.

"Justeru, saya sudah maklumkan perkara itu kepada Osman, dia masih baharu, kita bagi dia sedikit masa untuk 'steady'.

"Dasar PH adalah sikap kita bertanggungjawab dan adil. Maknanya, jika kawasan itu mundur dan tidak kira penyokong, kita akan bantu," katanya selepas melawat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras, petang tadi.

Mengulas lanjut tindakan Osman, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu tumpuan diberikan terhadap pelaksanaan tugas supaya kehidupan rakyat lebih baik.

Beliau yang pernah menyandang jawatan Menteri Besar Johor berkata, kerajaan PH tidak akan mengikut cara Barisan Nasional (BN) mentadbir sebelum ini.

"Kita tak perlu bagi duit kepada dia (pembangkang), yang penting pelaksanaan boleh dijalankan oleh pejabat daerah tetapi tidaklah bermaksud di kawasan pembangkang tiada peruntukan.

"Kita tidak mahu esok timbul isu berbangkit dan ketidaksamarataan dari segi tahap pembangunan. Kita tidak mahu kawasan pembangkang jadi kawasan terbiar dan rakyat susah. Jadi, pendekatan kita mestilah adil," katanya.

34430 dibaca
Berita Harian X